Persepsi negatif masyarakat sekeliling beri tekanan untuk pulih sepenuhnya, kata bekas pesakit Covid-19

Persepsi negatif masyarakat sekeliling beri tekanan untuk pulih sepenuhnya, kata bekas pesakit Covid-19

Kempen kesedaran yang hanya menumpukan cara menghindari dijangkiti Covid-19 perlu diperluaskan dengan menerapkan pengetahuan mengenai cara orang ramai berhubung dengan pesakit Covid-19.

Bekas pesakit Covid-19 mengongsikan pengalaman mereka menerusi program bual bicara yang dipancarkan menerusi FB Live selama satu jam itu.
PETALING JAYA:
Stigma masyarakat bahawa bekas pesakit Covid-19 boleh menjangkiti orang lain selepas pulih harus diubah supaya individu yang sudah bebas daripada wabak itu tidak terus tertekan dan merasa tersisih.

Menceritakan pengalamannya, Ewe Pin, mengakui berdepan persepsi negatif orang sekeliling ketika dijangkiti virus itu dan secara tidak langsung memberi tekanan kepadanya untuk pulih sepenuhnya.

Beliau yang juga seorang arkitek berkata, walaupun sudah menjalani tempoh kuarantin yang agak lama iaitu 22 hari di rumah, masyarakat khususnya jiran tetangga masih memandang serong dan cuba menjauhkan diri darinya.

“Orang ramai masih takut dengan kita bila dapat tahu kita pernah dijangkiti Covid-19. Malah ada yang buat muka bila ditegur.

“Saya tak salahkan mereka, ia adalah sikap biasa manusia,” katanya menerusi forum Sembang Covid-19: Sampai Bila|Sembang Bersama Bekas Pesakit.

Program bual bicara yang dipancarkan menerusi FB Live selama satu jam itu dianjurkan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Bagaimanapun, beliau berpendapat kempen kesedaran yang hanya menumpukan bagaimana untuk menghindari diri daripada dijangkiti Covid-19 perlu diperluaskan dengan menerapkan pengetahuan mengenai cara orang ramai berhubung dengan pesakit Covid-19.

“Masalah kita pada ketika ini adalah hanya fokus pada cara bagaimana nak cegah Covid-19, tapi tiada maklumat mengenai bagaimana orang awam nak berurusan dengan pesakit Covid-19.

“Ini perlu diubah segera,” katanya yang kini sudah pulih sepenuhnya selepas disahkan positif pada Januari lalu.

Seorang lagi bekas pesakit Covid-19, Amirul Izzulis pula berkata Covid-19 berjaya merapatkan kasih sayangnya bersama keluarga dan rakan-rakan kerana selepas disahkan positif, pelbagai pihak menghulurkan salam pertolongan tanpa disangka-sangka.

“Jika sebelum ini suara ibu atau adik-beradik yang lain hanya menjadi peneman sembang ketika hujung minggu, namun bila disahkan positif, ahli keluarga setiap hari tanpa gagal hubungi saya menerusi panggilan video dan hubungan kami semakin akrab selepas itu,” kongsinya.

Beliau yang juga pengasas AIMY menegaskan makhluk Covid-19 itu adalah benar dan bersifat membunuh “secara senyap”.

Ketika dikuarantin di wad Covid-19 Hospital Selayang, Amirul berkata beliau terpaksa menyaksikan pemergian pesakit Covid-19 seorang warga emas secara mengejut.

“Petang sebelum pemergiannya, kami bersembang macam biasa. Tiba-tiba dia batuk tak berhenti dan memerlukan bantuan oksigen. Selang beberapa jam, bila doktor lakukan pemeriksaan lanjut, nadinya sudah berhenti,” katanya sambil menyifatkan pemulihan secara total memerlukan mental yang kuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.