
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata tindakan susulan akan diambil sekiranya dakwaan itu terbukti selepas siasatan selesai.
“Setakat ini saya belum terima sebarang laporan mengenai isu itu dan kita akan siasat terlebih dahulu. Jika sudah siasat pasti ada tindakan susulan. Saya tidak boleh beri kenyataan apa-apa kerana khuatir maklumat itu tidak betul, siasatan harus dibuat terlebih dahulu,” katanya.
Beliau yang juga memegang portfolio agama Islam negeri berkata demikian semasa ditanya berhubung perkara itu pada sidang media secara maya di sini hari ini.
Akhbar tempatan melaporkan pendakwah terkenal yang juga pengetua madrasah di Lenggong adalah antara yang dikatakan cuba mempengaruhi masyarakat supaya tidak mematuhi SOP ketika beribadat selain menyampaikan ceramah yang berunsurkan antivaksin.