
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat hari ini yang diadakan secara maya bersama-sama dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-timbalan Yang di-Pertua bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid diadakan berasaskan penyertaan Ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.
“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan.
Mesyuarat itu turut menyentuh berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.
Banyak pihak berulang kali menggesa supaya Parlimen bersidang semula walaupun dalam keadaan pandemik dan darurat yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos depan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Februari bertitah bahawa Parlimen masih boleh bersidang dalam tempoh darurat, namun persidangan masih belum diadakan dan Takiyuddin berkata, isu kesihatan Ahli Parlimen adalah antara pertama utama yang dibimbangkan.
Dipercayai semua Ahli Parlimen telah menerima suntikan vaksin Covid-19.