Cukup-cukuplah, kata Vigneswaran berkait kematian dalam tahanan

Cukup-cukuplah, kata Vigneswaran berkait kematian dalam tahanan

Dengan tiga insiden dilaporkan dalam tempoh 15 hari, presiden MIC itu menggesa ketua polis negara bertindak segera.

Masyarakat sekarang akan sangat takut dengan institusi yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap keselamatan dan nyawa rakyat, kata SA Vigneswaran.
PETALING JAYA:
Presiden MIC SA Vigneswaran menyelar angka kematian dalam tahanan yang semakin meningkat dan menggesa Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani yang baru dilantik untuk mencari jalan keluar.

Kematian pemandu lori Umar Faruq Abdullah semalam di ibu pejabat polis Daerah Klang Selatan adalah yang ketiga dalam 15 hari, selepas pengawal keselamatan S Sivabalan mati di balai polis Gombak pada 20 Mei dan Surendran Shanker meninggal dunia di hospital Kluang seminggu kemudian, susulana ditahan di penjara Simpang Renggam, Johor.

Vigneswaran berkata masalah itu tidak boleh diabaikan lagi, kerana ia melibatkan kehilangan nyawa manusia dan berkata kegagalan institusi yang sepatutnya melindungi mereka.

“Apa yang berlaku semalam, apabila seorang tahanan mati selepas terjun dari bangunan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Katanya, ia menimbulkan banyak persoalan tentang polis dan hal itu memberi impak negatif terhadap kepercayaan serta persepsi masyarakat terhadap institusi tersebut, seolah ia “tidak dapat dikawal.”

“Kematian dalam tahanan sekarang sudah cukup untuk menimbulkan rasa bimbang di hati seseorang yang ditahan atau dipanggil ke balai polis, dan orang ramai akan sangat takut dengan institusi yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap keselamatan dan nyawa orang awam.

“Saya merayu kepada ketua polis negara untuk memberikan garis panduan yang lebih ketat dalam menguruskan tahanan.

“Jika anda menahan seseorang, pastikan kebajikan dan nyawanya diutamakan. Undang-undang akan memberikan hukuman setimpal dengan jenayah atau kesalahan yang dilakukan oleh suspek. Jangan jadikan suspek pula sebagai mangsa,” katanya.

Vigneswaran berkata MIC akan mengadakan pertemuan dengan Acryl Sani dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin tidak lama lagi untuk membincangkan isu tersebut.

“Hal ini sangat membimbangkan dan sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.