Syarikat ditutup 7 hari, denda RM50,000 jika langgar arahan kerja dari rumah masa ‘lockdown’

Syarikat ditutup 7 hari, denda RM50,000 jika langgar arahan kerja dari rumah masa ‘lockdown’

Pegawai penguatkuasa JTKSM dan JKKP bawah KSM juga diberi kuasa mengkompaun selaras Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) oleh Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 1 Jun 2021.

Hanya 60% dari jumlah kakitangan dibenarkan beroperasi di tempat kerja, manakala baki 40% diwajibkan bekerja dari rumah.
PETALING JAYA:
Syarikat swasta akan ditutup serta-merta untuk tempoh tujuh hari dan didenda sehingga RM50,000 jika melanggar arahan bekerja dari rumah (BDR), kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Di bawah peraturan itu, hanya 60% daripada jumlah kakitangan dibenarkan beroperasi di tempat kerja, manakala baki 40% diwajibkan bekerja dari rumah, katanya dalam kenyataan.

“Mana-mana syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR yang terkini serta berlaku pelanggaran SOP akan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari dan dikompaun maksimum RM50,000,” katanya.

Saravanan turut memaklumkan pegawai penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah KSM juga diberi kuasa mengkompaun selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkuat kuasa 1 Jun 2021.

“Langkah ini bertujuan untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 berhubung keperluan 40% pekerja sektor swasta untuk BDR.

“Keputusan ini dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan yang diterima melalui aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk BDR,” katanya.

Saravanan berkata, sejak isu BDR dibuka untuk aduan bermula 23 Mei lalu, sejumlah 1,121 aduan diterima sehingga 2 Jun.

“Bagi tempoh 3 Mei hingga 2 Jun, aplikasi WFW menerima sejumlah 1,767 aduan bagi 16 kategori lain.

“Daripada jumlah ini, aduan membabitkan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat adalah sebanyak 260 kes, pembuangan kerja tanpa notis (73), tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (68 ) dan lain-lain,” katanya.

Katanya, negeri merekodkan aduan paling banyak ialah Kuala Lumpur iaitu 511 kes, diikuti Selangor (580), Johor (223), Pulau Pinang (134) dan lain-lain.

“Saya menggesa semua majikan mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap SOP ditetapkan oleh kerajaan terutaman dalam tempoh kritikal ini. Ini kerana usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dan pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.