ProtectHealth bukan syarikat berasaskan keuntungan, kata KKM

ProtectHealth bukan syarikat berasaskan keuntungan, kata KKM

Syarikat itu berperanan menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh kerajaan.

KKM menjelaskan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd adalah syarikat di bawah kementerian yang tidak berasaskan keuntungan.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan hari ini bahawa ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) bukan sebuah syarikat berasaskan keuntungan, seperti yang dipersoalkan warga net.

Menurut KKM, ProtectHealth yang ditubuhkan pada 19 Dis 2016 bawahnya adalah sebuah syarikat yang berperanan menyelaras, mentadbir dan mengurus inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan kesihatan seperti diamanahkan oleh kerajaan.

“ProtectHealth juga ditubuhkan melalui mandat Jemaah Menteri sebagai pembeli strategik untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan negara sambil memastikan kos penjagaan kesihatan yang munasabah.

“Tadbir urus entiti ini dipantau oleh Jawatankuasa Governans, Pemantauan dan Penilaian (GMEC) di mana ahli-ahlinya terdiri daripada wakil Jabatan Akauntan Negara, Penasihat Undang-Undang, SPRM, Pejabat Menteri Kesihatan dan ahli akademik,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial mempersoalkan sama ada ProtectHealth memperoleh wang daripada program vaksinasi dan ujian calitan.

Dia juga bertanya sama ada lima anggota lembaga pengarah syarikat itu, yang termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, diberi gaji atau elaun.

KKM menjelaskan lima orang ahli lembaga pengarah berkenaan, dengan Noor Hisham sebagai pengerusi, tidak menerima sebarang gaji atau elaun bulanan.

“Pekeliling Perkhidmatan 3 1985 bertajuk Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Peranan Pegawai Kerajaan Sebagai Pengerusi, Ketua Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Awam, Syarikat-Syarikat Kerajaan dan Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan, jelas menyatakan bahawa penjawat awam dibenarkan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat di bawah kerajaan, termasuklah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah,” kata KKM dalam kenyataan.

Selain Noor Hisham, ahli lembaga pengarah yang lain ialah Mohd Shafiq Abdullah sebagai wakil KKM, wakil Kementerian Kewangan Rosni Mohd Yusoff, serta Johari Abdul Muid dan Nurhisham Hussein daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai ahli bebas.

Pada 12 Nov tahun lalu, ProtectHealth diberi tugas menguruskan penyedia perkhidmatan elektronik bagi Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA).

Pada 19 Feb lalu, syarikat berkenaan dilantik kerajaan untuk menguruskan penyertaan pengamal perubatan am swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan bagi fasa kedua dan ketiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.