MOF perlu fokus urus kewangan, bukan jaga projek, kata Pemuda Umno Sabah

MOF perlu fokus urus kewangan, bukan jaga projek, kata Pemuda Umno Sabah

Tindakan kementerian itu mengambil alih kuasa menyelia jalan raya di Sabah daripada Jabatan Kerja Raya adalah tidak wajar kerana itu bukan bidang mereka.

Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, berkata Kementerian Kewangan Sabah sepatutnya berusaha untuk menerokai sumber baharu bagi meningkatkan semula ekonomi. (Gambar fail)
KOTA KINABALU:
Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, meminta Kementerian Kewangan (MOF) Sabah fokus dengan peranan mencari sumber serta mengurus kewangan negeri, bukan mengambil alih tanggungjawab kementerian lain.

Katanya, tindakan MOF mengambil alih kuasa menyelia jalan raya di Sabah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah sesuatu yang tidak wajar kerana itu bukan bidang mereka.

“Kalau kita lihat misi dan visi, objektif atau peranan mereka (MOF), tiada yang berkaitan dengan jalan raya kerana tugas mereka yang sebenar adalah untuk menguruskan kewangan dan mencari sumber dana untuk negeri.

“Tindakan MOF ini sukar difahami kerana ia bertentangan dengan arahan Perbendaharaan 182 dan juga SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang telah meminta MOF menyerahkan pengawasan teknikal kejuruteraan kepada JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu program bual bicara Ulang Suara yang disiarkan secara langsung di Facebook Umno Sabah Online, hari ini.

Aziz berkata, MOF Sabah sebaliknya perlu lebih fokus kepada usaha untuk memperkukuhkan semula ekonomi negeri yang jatuh teruk sejak akibat Covid-19.

Katanya, selepas kejatuhan teruk ekonomi Sabah yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan, MOF sepatutnya berusaha untuk menerokai sumber baharu bagi meningkatkan semula ekonomi.

“Kira-kira 40% daripada sumber pendapatan negeri adalah daripada sektor pelancongan dan kini memang tiada langsung pelancong di Sabah.

“Oleh sebab itu, MOF perlu fokus cari duit dan sumber dana, terokai sumber yang baharu, janganlah fokus perkara lain seperti jaga projek,” katanya.

Sehubungan itu, Aziz turut menyeru kepada kementerian lain supaya fokus dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya mempunyai masa lima tahun untuk membalas semula mandat diberikan sebelum ini.

Katanya, untuk kekalkan kerajaan GRS, setiap pemimpin atau parti dalam gabungan itu perlu jujur dan ikhlas dalam mentadbir negeri.

“Sebelum ini, kita (parti dalam GRS) boleh duduk semeja untuk menyelamatkan Sabah dan menumbangkan kerajaan Warisan Plus, tiada ‘abang besar’ dalam GRS tidak kiralah Umno, Bersatu, PBS, PN dan lain-lain.

“Jika kita mahu pertahankan GRS ini, semua pemimpin atau parti dalam gabungan ini perlu jujur dan ikhlas kerana fokus kita adalah untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan kerajaan Warisan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya menyelar tindakan MOF Sabah yang menarik balik semua kuasa JKR untuk menyelia jalan raya di Sabah.

Katanya, apa yang lebih ‘pelik’, kuasa itu dipindahkan kepada kementerian kewangan yang langsung tidak memiliki jurutera berbanding JKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.