Maklumat SOP jelas, pemandu teksi, e-panggilan tak lagi keliru, kata persatuan

Maklumat SOP jelas, pemandu teksi, e-panggilan tak lagi keliru, kata persatuan

MKN dan MOT telah menjelaskan dua orang termasuk pemandu dibenarkan berada dalam sebuah kenderaan, manakala tiga individu bagi tujuan perubatan serta kecemasan.

Presiden Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM) Kamaruddin Hussain berkata, penjelasan itu menghapuskan kekeliruan berhubung SOP sepanjang PKP penuh.
PETALING JAYA:
Pemandu teksi dan e-panggilan memaklumkan mereka tidak lagi keliru berhubung SOP susulan penjelasan terperinci bahawa hanya dua orang, termasuk pemandu dibenarkan berada dalam sebuah kenderaan, manakala tiga individu bagi tujuan perubatan serta kecemasan.

Presiden Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamaruddin Hussain berkata, penjelasan yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu memudahkan mereka mengambil penumpang sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

“Kami dari GTSM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan MKN kerana telah menyelesaikan kekeliruan berhubung pertindihan SOP sebelum ini.

“Pihak pemandu teksi semua jelas dengan SOP ditetapkan melainkan mereka (pemandu teksi) sengaja mahu cari masalah.

“Kami dari sektor perkhidmatan awam darat amat menghormati keputusan kerajaan dan akan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, MKN dan MOT menerusi infografik terbaharu menjelaskan hanya dua orang, termasuk pemandu dibenarkan berada dalam sebuah kenderaan, dengan penumpang wajib duduk di bahagian belakang.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk tujuan perubatan dan kecemasan, dengan bilangan maksimum tiga penumpang dibenarkan termasuk pemandu.

Mereka juga perlu menunjukkan surat janji temu hospital atau vaksinasi Covid-19.

Isu kekeliruan itu ditimbulkan pemandu teksi apabila mendakwa kenyataan bercanggah berhubung SOP berkaitan had jumlah penumpang yang dikeluarkan MOT, MKN dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurut mereka, MKN serta MOT mengumumkan maksimum dua orang dibenarkan dalam sesebuah teksi atau kenderaan e-panggilan, termasuk pemandu.

Sebaliknya, Acryl Sani berkata, tiga orang dibenarkan dalam sebuah kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.