
Kelonggaran itu diberi bagi meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai tertakluk kepada tiga kriteria ditetapkan.
Pertama penangguhan pembayaran penalti berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022, dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang perlu dibayar serta penalti termaktub dalam tawaran tersebut mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.
“Kedua, pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan PKP.
“Ketiga pertimbangan penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh. Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes,” menurut LHDN dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu juga memaklumkan, pembayar cukai yang berhasrat memohon kelonggaran disyorkan supaya menghubungi pejabat Cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.
“Kelonggaran ini hanya terpakai kepada pembayar cukai yang terjejas pendapatannya akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP. Pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.