Ikut cara Jepun beri vaksin, kata MMA

Ikut cara Jepun beri vaksin, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata sistem itu akan sangat membantu warga emas dan mereka yang berkeperluan khas.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy, berkata akan wujud kawalan yang lebih baik sekiranya kakitangan perubatan bergerak dari seorang individu ke individu lain untuk memberikan suntikan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Malaysia perlu mengkaji cara orang Jepun memberikan vaksin mereka, terutama kepada warga emas dan mereka yang berkeperluan khas, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Sebuah video yang disiarkan di Twitter oleh wartawan berpangkalan di Tokyo, Natsuko Fukue, menunjukkan sepasukan kakitangan perubatan di pusat vaksinasi di Fukuoka, Jepun, bergerak dari seorang warga emas ke warga emas berikutnya untuk memberikan vaksin kepada mereka, manakala penerima vaksin tetap duduk di kerusi.

Keterangan gambar itu menyebut, pasukan perubatan dapat memberikan suntikan vaksin dengan “lancar dan berkesan kepada 120 orang dalam masa sejam, lapan kali lebih cepat berbanding sebelumnya” kata Fukue.

Bercakap kepada FMT, Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy, berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) perlu mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem sedemikian, terutama bagi warga emas dan mereka yang berkeperluan khas.

Dr Subramaniam Muniandy.

“Ini mengehadkan pergerakan seseorang dari satu tempat ke tempat lain. Oleh itu, akan ada kawalan khalayak yang lebih baik dan juga lebih mudah,” katanya.

“Saya rasa JKJAV perlu mempertimbangkan untuk melaksanakannya, terutama di pusat vaksinasi yang lebih besar,” katanya.

Subramaniam berkata, pertemuan di lapangan amat diperlukan sebelum program seperti ini dilaksanakan, sambil menekankan bahawa pasukan yang memberikan vaksin perlu dimaklumkan sebelum keputusan dibuat.

Pengguna media sosial sering menggunakan platform seperti Twitter untuk melepaskan kekecewaan mengenai barisan di pusat vaksinasi, seperti laporan FMT sebelum ini membabitkan barisan di Stadium Titiwangsa, yang mengelirukan.

Warganet turut berkongsi bagaimana warga emas terpaksa berdiri berjam-jam dalam barisan panjang kerana tidak ada kerusi yang tersedia untuk mereka yang menunggu giliran, malah ada yang terpaksa duduk di lantai.

Bercakap pada sidang media di Pulau Pinang awal hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia telah memberikan 3.5 juta dos setakat ini dan dijadualkan mencapai sasaran 150,000 suntikan sehari bulan ini dan 200,000 bulan depan.

Beliau berkata, semalam kadar dos semasa sehari mencapai 105,655.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.