Syarikat besar digesa sumbang dana untuk perangi Covid-19

Syarikat besar digesa sumbang dana untuk perangi Covid-19

Bukan hanya menteri, penjawat awam yang perlu menyumbang, kata Ahli Parlimen dan ahli ekonomi.

PETALING JAYA:
Dua Ahli Parlimen dan seorang ahli ekonomi menyeru agar sektor korporat membuat sumbangan kewangan kepada usaha memerangi Covid-19.

Memandangkan menteri dan timbalan menteri akan menyerahkan tiga bulan gaji mereka, manakala kira-kira 800,000 penjawat awam akan menyumbang sejumlah wang daripada elaun bulanan, syarikat-syarikat besar, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perlu turut menyumbang.

Ahli ekonomi, Ramon Navaratnam, mencadangkan agar seluruh sektor korporat berbuat perkara sama.

Ramon, yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, berkata harus ada perancangan yang lebih komprehensif agar setiap orang dapat mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak.

“Tidak patut beban ini hanya ditanggung segelintir pihak, semua orang patut kongsi tanggungjawab memerangi Covid-19 secara kolektif,” katanya kepada FMT.

Beliau menyokong cadangan agar cukai keuntungan luar biasa sementara dikenakan terhadap syarikat-syarikat yang meraih keuntungan daripada wabak, seperti pembuat sarung tangan getah.

Cadangan ini dikemukakan bulan lalu oleh ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, hanya ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berpendapatan lebih RM25,000 sebulan patut diminta menyumbang. Bukan semua ketua GLC bergaji tinggi, katanya.

“Meminta mereka yang bergaji lebih rendah untuk memotong gaji selama tiga bulan hanya akan mencetuskan kebimbangan lain buat mereka,” katanya.

Santiago juga berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan “mengejar” syarikat-syarikat besar yang mengelak cukai.

Ini lebih efektif berbanding meminta orang lain menyerahkan sebahagian gaji mereka, tambahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, tidak adil untuk memaksa penjawat awam melepaskan sebahagian daripada elaun mereka berdasarkan satu kadar kerana tanggungan bagi setiap individu berbeza.

“Saya mencadangkan agar sumbangan/pemotongan ini dibuat secara sukarela mengikut kemampuan penjawat awam tersebut. Saya kira melalui kaedah ini akan mendapat lebih daripada RM30 juta yang dianggarkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mencadangkan agar pemain industri perkilangan yang dibenarkan beroperasi ketika “lockdown” turut dipelawa untuk menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali mengumumkan bahawa kira-kira 800,000 penjawat awam akan menyumbangkan satu jumlah yang tetap, mengikut gred, daripada elaun bulanan mereka kepada tabung berkenaan.

Penjawat awam Gred A akan menyumbang 50% daripada elaun mereka, diikuti oleh Gred B (20%), Gred C (10%), Gred 44 hingga 56 (5%) dan Gred 29 hingga 41 (RM10).

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa menteri dan timbalan menteri akan menyerahkan gaji Jun, Julai dan Ogos mereka bagi tujuan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.