
Dalam kenyataan hari ini, Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan syarat berkenaan sebagai “bercanggah dengan Perlembagaan dan berbahaya”, sambil berkata, tiada peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membenarkan pelanggaran kebebasan berdasarkan Perlembagaan.
“Sekatan ke atas akses kepada peguam tidak perlu, membebankan dan menjadi contoh permulaan yang berbahaya. Jelas sekali peguam hanya pergi ke mahkamah untuk mewakili anak guamnya, bukan (berbuat perkara) lain,” kata penyelaras LFL, Zaid Malek.
“Kenapa kenakan syarat (dapatkan) permit polis, yang benarkan polis halang orang ramai dapatkan khidmat guaman jika mereka mahu?”
Kata Zaid, peguam yang merupakan pegawai mahkamah dan komponen penting dalam sistem keadilan jenayah mesti diberi layanan sesuai dengan kepentingannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata semalam, peguam boleh hadir secara fizikal ke mahkamah, dengan kebenaran polis untuk pertuduhan baharu, penahanan perintah reman dan permohonan jenayah pelbagai.
Kata Zaid, dalam kes-kes jenayah, kerap terdapat perkembangan yang tidak dijangka dan arahan pada saat akhir, dan dalam situasi ini, peguam mungkin tidak mempunyai masa untuk mendapatkan bukti mereka perlu hadir di mahkamah bagi mendapatkan kebenaran polis.
Ini terutama sekali bagi anak guam yang berdepan tuduhan baharu atau permohonan reman yang hanya akan didaftarkan mahkamah pada pagi kes berkenaan dikemukakan, tambahnya.
Beliau berkata akses kepada keadilan tidak boleh disekat berdasarkan keizinan badan penguat kuasa, yang mungkin mempunyai kepentingan bertentangan dengan individu yang mahu mendapatkan khidmat guaman.
“Memberi kuasa kepada polis untuk menentukan sama ada peguam boleh pergi ke mahkamah sama seperti (berada dalam) negara yang diperintah polis,” katanya.
LFL menggesa kerajaan memansuhkan syarat mendapatkan kebenaran polis untuk melakukan perjalanan kerana ia menyekat peguam daripada menjalankan tugas.
Walaupun negara kini di bawah perintah “lockdown”, kerajaan pada setiap masa bertanggungjawab memastikan sistem keadilan beroperasi, dan ini hanya boleh dicapai jika peguam diberi akses bebas untuk mewakili anak guam di mahkamah, tanpa bergantung kepada budi bicara polis, katanya.