
LGM dalam kenyataan turut menafikan dakwaan bekas pengerusinya, Ahmad Nazlan Idris berhubung campur tangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali dalam skandal tanah LGM.
“Dalam hubungan ini, Akta 551 (Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996) melalui Seksyen 14 menetapkan Lembaga hendaklah bertanggungjawab kepada menteri dan menteri boleh memberikan arahan yang selaras dengan akta dan lembaga hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin melaksanakan arahan sedemikian.
“Oleh itu, kenyataan bekas pengerusi LGM tentang campur tangan menteri dalam urusan LGM atau LGM Properties Corporation (LGMPC) tidak bertepatan dengan kuasa menteri yang termaktub di dalam akta berkenaan,” katanya.
Pada 27 Mei lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Dis, 6 Jan dan 11 Mac lalu yang didakwa berkaitan tanah milik LGM dan penglibatan Khairuddin dalam skandal itu.
Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation pada harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.
Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki, sedangkan harga pasaran sekitar RM1,400 sekaki.
LGM berkata, proses pajakan bagi tempoh 10+5 tahun itu dilaksanakan melalui tender terbuka dan telus pada Oktober 2020 kepada Al Noor Foundation dengan harga bidaan tertinggi RM0.70 sekaki, sejajar kadar penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).
“Yayasan tersebut adalah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak berasaskan keuntungan dengan majoriti pemegang amanahnya adalah rakyat Malaysia dan bukan milik rakyat Turki, sebagaimana kenyataan bekas pengerusi LGM.”
Mengenai tender berkenaan, LGM berkata, agensi itu dan LGMPC belum memuktamadkan sebarang proses pajakan sehingga kini.
“Oleh itu, kenyataan bekas pengerusi LGM bahawa menteri mahukan 5+10+10 tahun adalah tidak tepat.
“Selain itu, kenyataan bahawa hasil yang boleh diperoleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion adalah tidak tepat.”
Berhubung penjualan Lot 20012 di Jalan Ampang, LGM mengulangi sehingga kini masih tiada cadangan penjualan dan ia belum diangkat kepada kementerian untuk pertimbangan.
“Pada masa ini, LGM masih membuat semakan berkaitan dengan JPPH dan Jabatan Warisan Negara.”