
Dalam surat bertarikh 31 Mei, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Muhammad Yasir Yahya, berkata lanjutan 60 tahun itu diberikan kepada Lady Superior Society of Saint Maur.
The Society of Saint Maur mengendalikan CBN, yang juga antara sekolah tertua di negara ini, selain antara sekolah perempuan yang masih ada di Kuala Lumpur.
“CBN juga perlu melunaskan fi RM2,070 untuk tujuan lanjutan itu, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh ini (31 Mei),” katanya.
Katanya, tanah itu hanya boleh digunakan untuk tujuan pendidikan dan tidak boleh dipindahkan ke pihak lain tanpa kebenaran Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan pada 22 April lalu berkata, pajakan tanah CBN telah dilanjutkan untuk 60 tahun “khusus untuk tujuan pendidikan saja.”
PMO juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Yasir bertemu Theresa Chua, Lady Superior Society of Saint Maur, dan pihak bersetuju dengan penyelesaian itu.
Pengumuman lanjutan itu susulan sekolah berkenaan mendapat izin untuk mencabar tindakan kerajaan sebelum ini yang enggan melanjutkan pajakan tanah yang sepatutnya luput pada 6 September.