Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata mereka boleh memasukkan beberapa butiran berkaitan status kandungan atau tempoh penyusuan seperti tahun dan bulan.
“Janji temu anda akan bersandarkan kepada vaksin yang sesuai untuk anda di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu,” katanya di Twitter.
Berdasarkan tangkap layar yang dikongsi beliau, butiran berkaitan kandungan dan status penyusuan kini disertakan di bawah kemaskini alamat rumah dalam ruangan vaksinasi di aplikasi berkenaan.
Semua maklumat termasuk alamat semasa, status kandungan dan penyusuan akan dipaparkan pada bahagian penilaian pemilik akaun MySejahtera.
Pada 25 Mei lalu, Khairy mengumumkan satu ciri baharu akan dimasukkan dalam aplikasi MySejahtera khas untuk mengenal pasti ibu hamil dan menyusu.
Sebelum ini, kerajaan digesa mengubah borang pendaftaran vaksin untuk segera memasukkan status kehamilan dan ibu menyusu dalam aplikasi MySejahtera.
Ia susulan timbul rungutan bahawa kadar vaksinasi rendah dalam kalangan ibu hamil dan kerisauan terhadap ibu menyusu untuk menyuntik vaksin.