Jangan buang masa lakukan sanitasi awam, kata badan pemikir

Jangan buang masa lakukan sanitasi awam, kata badan pemikir

Sumber yang ada seharusnya diberi fokus untuk membeli pelitup muka dan menyediakan garis panduan bagaimana menambah baik sistem pengudaraan.

https://youtu.be/I_vJrRfDaPQ

PETALING JAYA:
Pegawai kerajaan diminta untuk tidak membuang masa dan sumber dengan melaksanakan sanitasi pada bangunan dan kawasan awam kerana pakar kesihatan berkata data saintifik menunjukkan jangkitan kes Covid-19 daripada permukaan adalah sangat jarang berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan Dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, kajian menunjukkan permukaan yang tercemar tidak menyumbang secara ketara kepada jangkitan baharu.

“Tidak perlu melakukan sanitasi di dalam atau diluar premis,” katanya dan turut menambah ia memerlukan kos dan masa, dengan jumlah pelaksanaan yang terhad.

Tambah beliau, sumber yang ada seharusnya diberi fokus untuk membeli pelitup muka dan menyediakan garis panduan bagaimana menambah baik sistem pengudaraan seperti dibuat Singapura baru-baru ini.

Katanya, penularan melalui udara kini menjadi faktor jauh lebih penting dan ia boleh dikurangkan dengan menambah baik pengudaraan di dalam premis dan aliran udara selain memasang pembersih udara, berbanding membersihkan dan menyahkuman permukaan.

Operasi sanitasi berskala besar baru-baru ini diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang berkata usaha itu akan memberi fokus pada Selangor yang mencatatkan angka tertinggi kes harian Covid-19.

Zuraida berkata, 25,252 operasi sanitasi sudah dilaksanakan di 156 zon sejak Mac tahun lalu.

Azrul berkata, walaupun kebersihan itu penting namun risiko penularan berlebihan Covid-19 daripada permukaan dan objek masih ada.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat bulan lalu mengubah pandangan mereka dan kini berpendapat virus Covid-19 lebih mudah merebak dari individu ke individu berbanding permukaan.

Tahun lalu ketika awal penularan pandemik ini, wujud sentimen yang mempercayai Covid-19 merebak melalui permukaan yang menjadi salah satu daripada punca utama jangkitan.

Azrul berkata, kajian menunjukkan amat sukar virus SARS-CoV2 mencemarkan permukaan di hospital, apatah lagi memindahkannya kepada manusia.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyeru Putrajaya mengerahkan lebih ramai tenaga kerja di pusat vaksinasi kerana lebih banyak tenaga kerja diperlukan untuk melakukan pengesanan kontak, pendaftaran vaksinasi dan kawalan orang ramai.

“Kerajaan tidak boleh membazirkan tenaga kerja dan sumber untuk pekerjaan yang tidak perlu,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.