
Jeneral bersara Mohamed Arshad Raji, presiden Persatuan Patriot Kebangsaan mengajukan persoalan itu susulan peringatan daripada kesatuan pekerja kereta api berhubung penangguhan projek tersebut kerana berlakunya pertikaian kontrak.
Arshad mempersoalkan langkah kerajaan membatalkan kontrak yang diberikan kepada Dhaya Maju-Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Dhaya Maju-LTAT), selain bertanya sama ada kontraktor berkenaan gagal menjalankan kerja mereka.
“Jika kerja berjalan seperti biasa, kenapa tamatkan kontrak dan berikan kepada kontraktor lain? Jika pertambahan kos merupakan masalahnya, kenapa semakan kos tidak dibuat, bukannya menamatkan kontrak,” katanya.
“Membatalkan kontrak landasan kereta api sebesar dan sepenting ini dan melantik kontraktor baharu bukan perkara mudah.

“Terdapat banyak faktor yang mesti dilihat; paling penting ialah jaminan kerja kontarktor baharu. Kelewatan penyiapan projek sudah boleh dijangka,” katanya.
Penangguhan akan memberi kesan ke atas pendapatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), katanya.
Semalam presiden kesatuan pekerja KTMB Abdul Razak Md Hassan berkata, wujud kesan keselamatan dan ekonomi daripada kelewatan projek landasan berkembar.
Razak memberitahu FMT, projek KDVT2 memerlukan penggantian trek usang berusia 26 tahun yang boleh mengakibatkan kereta api yang beroperasi menghadapi risiko tergelincir dan kelewatan.
“Kami tidak peduli siapa yang mendapat kontrak. Kebimbangan kami adalah setiap hari apabila projek ini ditangguhkan, risiko keselamatan bagi penumpang dan kakitangan kami bertambah,” katanya.
Peringatan itu diberikan susulan insiden pertembungan tren LRT berhampiran pusat bandar raya Kuala Lumpur minggu lalu, yang menyaksikan lebih daripada 200 penumpang cedera.
Projek KVDT2 menjadi kes mahkamah selepas kerajaan membatalkan kontrak yang pada asalnya diberikan kepada Dhaya Maju-LTAT pada awal 2018.
Projek berkenaan sudah ditangguhkan dua kali. Kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menamatkan pemberian kontrak itu atas alasan kos.
Kontrak Dhaya Maju-LTAT dibatalkan pada Oktober 2018 tetapi disambung semula pada bulan Julai 2019 selepas kerajaan PH mengakui tidak ada asas untuk menamatkan kontrak tersebut.
Bagaimanapun kos projek dikurangkan seiring dengan pengurangan skop kerja.
Pada Sept lalu, pentadbiran PN membatalkan kontrak syarikat itu sekali lagi, yang akhirnya membawa pertikaian tersebut ke mahkamah.