Kilang sarung tangan penyumbang terbesar kes Covid-19 di Negeri Sembilan, kata exco negeri

Kilang sarung tangan penyumbang terbesar kes Covid-19 di Negeri Sembilan, kata exco negeri

122 kes baharu direkodkan dalam kluster Dioh menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 131 kes mengikut laporan CPRC Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

Kilang sarung tangan di kawasan perindustrian Dioh di Kuala Pilah mencetuskan kluster dan dipercayai menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes baharu di Negeri Sembilan.
PETALING JAYA:
Sebuah kilang sarung tangan di kawasan perindustrian Dioh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan mencetuskan kluster dan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes baharu Covid-19 di negeri itu, kata pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Beliau berkata, 122 kes baharu direkodkan dalam kluster Dioh menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 131 kes mengikut laporan Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS).

“Setakat terdapat 468 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan CPRC, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 26,052 kes,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, jumlah kes baharu kluster Dioh yang dikaitkan dengan kilang di Kuala Pilah itu direkodkan selepas saringan dibuat ke atas 468 individu.

S Veerapan.

“Dukacita dimaklumkan, terdapat 15 kes kematian berkait dengan Covid-19 yang dilaporkan semalam, manakala jumlah kumulatif direkodkan adalah sebanyak 22,040 kes sembuh dan discaj, 3,911 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 101 kes meninggal dunia,” kata beliau.

Veerapan berkata, terdapat 5,042 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir).

“Secara keseluruhannya, terdapat 35 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan setakat ini,” katanya.

Terdahulu, pegawai daerah Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap memaklumkan sebuah kilang sarung tangan di kawasan perindustrian Dioh Kuala Pilah diarahkan tutup selama 14 hari bermula Rabu lalu.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD ) Kuala Pilah berkata, tindakan itu diambil susulan terdapat lapan pekerjanya yang disahkan positif Covid-19.

“Hampir 95% pekerja kilang terbabit adalah warga Bangladesh,” katanya.

Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah, bermula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.