Kami perlu sokongan kerajaan, segerakan bantuan kewangan, rayu persatuan kontraktor

Kami perlu sokongan kerajaan, segerakan bantuan kewangan, rayu persatuan kontraktor

MBAM meminta kerajaan memberikan pakej rangsangan tambahan bagi mengurangkan kesan ekonomi kepada industri.

Master Builders Association Malaysia (MBAM) berkata, industri pembinaan masih berdepan kesan kewangan akibat Covid-19.
PETALING JAYA:
Kumpulan mewakili industri pembinaan ketika ini sangat memerlukan sokongan ekonomi daripada kerajaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan penuh.

Master Builders Association Malaysia (MBAM) berkata, industri ini masih menghadapi kesan kewangan Covid-19, seperti menjalankan ujian Covid-19 untuk pekerja binaan dan kos mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Dikatakan kos ini tidak diambil kira ketika permulaan projek dan tidak ada peruntukan dalam bantuan Covid-19 bagi melindungi kontraktor.

“Kami terpaksa membuat keputusan ini untuk memastikan projek masih dapat disiapkan tepat pada waktunya dan memberi jaminan pekerjaan kepada ramai pekerja dalam industri ini.

“Dengan keseluruhan perintah kawalan pergerakan selama enam minggu dalam dua fasa dan berpotensi menjadi lebih lama, banyak kontraktor tidak dapat menyerap kos tambahan lagi dan mungkin gulung tikar.

“Dalam jangka pendek hingga sederhana, industri akan menghadapi kekurangan kontraktor dan menyebabkan kenaikan harga secara keseluruhan,” kata persatuan itu dalam kenyataan.

MBAM meminta kerajaan memberikan pakej rangsangan tambahan bagi mengurangkan kesan ekonomi kepada industri.

Antara lain, ialah keperluan moratorium automatik mulai esok dan program subsidi upah untuk semua pekerja dengan gaji RM4,000 ke bawah.

Mereka juga mendesak Jabatan Imigresen memberikan pengecualian pungutan levi pekerja asing yang memperbaharui permit kerja dan melanjutkan tempoh kelulusan permit bagi mereka yang terkandas di negara asal.

Selain itu, MBAM mendesak kerajaan untuk memberikan potongan cukai dan subsidi utiliti sepanjang keseluruhan tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Selain itu, kerajaan harus meneliti pelaksanaan ujian Covid-19 secara besar-besaran bagi setiap orang di seluruh negara untuk mengesan dan memutuskan rantaian Covid-19.

“Kadar vaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan juga harus dipercepat dengan bantuan hospital dan klinik swasta,” katanya.

Perintah kawalan pergerakan yang sama dengan PKP pertama sebelum ini akan bermula esok hingga 14 Jun. Bagaimanapun, dengan fasa lanjutan seterusnya, ia berkemungkinan dilaksanakan sehingga 16 Julai, sebelum Malaysia dapat melaksanakan status PKP bersyarat.

Bawah PKP kali ini, hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi termasuk kebenaran terhadap kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal dan kerja pembinaan kritikal untuk infrastruktur awam.

MBAM mewakili hampir 17,000 ahli dalam industri pembinaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.