
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata sebelum ini kes terbabit disiasat polis Kuala Lumpur, namun diserahkan kepada pihaknya selepas didapati insiden berkenaan berlaku di negeri itu.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan wanita itu membuat laporan di Kuala Lumpur dan percakapannya sudah direkod oleh polis di kontinjen berkenaan.
“Namun, kes itu kini diserahkan kepada polis Selangor dan sebab itu, wanita berkenaan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan.
“Kita juga akan memanggil individu lain termasuk kakitangan wanita yang dikatakan mempunyai akses membuka laman Instagram milik ibu selebriti itu dan membuat hantaran berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semalam, polis dilaporkan memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman IG Noor Kartini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar, dipetik berkata pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara itu, 5.44 petang semalam oleh pemilik akaun IG berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Sebelum ini, tular tangkap layar IG Story Noor Kartini di laman sosial yang kebanyakannya kesal dengan perkataan kasar digunakan.
Bagaimanapun, hantaran dalam IG Story itu dipadam selepas beberapa minit dimuat naik, petang semalam.