Ini susulan pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Khairy Jamaludin bahawa kadar vaksinasi negara mencecah angka 99,000 dos baru-baru ini.
Dalam kenyataan di Facebook, Yeo berkata, beliau dapati kerajaan cenderung untuk mengumumkan kadar vaksinasi harian pada hari-hari ia tinggi untuk memberi gambaran indah berbanding realiti di lapangan.
Merujuk kepada graf kadar vaksinasi harian yang dilaporkan oleh Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi bulan Mei beliau berkata, terdapat hari-hari yang menyaksikan kadar vaksinasi tidak mencapai angka 100,000 dos.
“Sesetengah orang mungkin tidak menyedari bahawa pada hari sebelumnya, ia hanyalah 21,988 dos dan dua hari selepas itu ia tidak mencapai bilangan 100,000 sehari,” katanya.
Yeo menggesa CITF supaya menyediakan laporan kadar vaksinasi purata tujuh hari bagi memberi gambaran lebih realistik tentang keadaan di lapangan.
(GRAF: Kadar Vaksinasi Harian Malaysia (dos/hari) pada Mei)
Beliau berkata, Khairy perlu jelas mengenai tarikh pada bulan Jun kerajaanmenjangka akan mencapai kadar vaksinasi harian sebanyak 150,000 dos.
“Kita perlukan lebih banyak tindakan segera diambil di lapangan. Ini bukan perang tajuk berita. Kita berperang dengan virus sebenar yang menuntut ukuran yang mewakili hasil sebenar di lapangan,” katanya.
Terdahulu Khairy mengumumkan bahawa Malaysia akan memperoleh hampir 16 juta dos vaksin Covid-19 menjelang Julai.
Beliau berkata, ini termasuk 12 juta dos vaksin Sinovac, 2.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech dan 1.2 juta dos vaksin AstraZeneca.
Dengan sampainya vaksinitu ke negara ini kata Khairy, kadar vaksinasi dijangka meningkat kepada 150,000 suntikan sehari pada Jun.
Dalam pada itu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, 1,860,864 lagi individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, menjadikan jumlah vaksin yang diberi sebanyak 2,913,009.
Beliau berkata, lima negeri yang mencatatkan angka penerimaan vaksin tertinggi ialah Selangor (139,427), Sarawak (109,934), Perak (97,558), Kuala Lumpur (94,399) dan Johor (92,231).