
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menyerbu pusat berkenaan yang didapati beroperasi ketika PKP kira-kira 4 petang hasil risikan dan maklumat.
“Setiap individu terbabit dikenakan kompaun RM5,000 seorang dan semua individu berkenaan dikenakan kompaun bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dua penjaga premis berkenaan yang juga warga asing berusia 25 dan 27 tahun turut ditahan bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh merebakkan jangkitan penyakit berjangkit boleh membahayakan nyawa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah.
Turut dirampas dua keping kad pekerja, sekeping resit perniagaan bertarikh 30 Mei 2021 dan pelbagai peralatan snuker.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki tempatan ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam yang sedang melakukan tugas rondaan berhubung PKP kira-kira 3 petang semalam di Seksyen 14, Petaling Jaya.
Fakhrudin berkata suspek berusia 23 tahun itu enggan memberi kerjasama serta tidak berpuas hati semasa pemeriksaan dilakukan oleh polis terhadapnya.
“Suspek telah melakukan provokasi dengan mempertikai tugas pihak polis apabila diminta menunjukkan kad pengenalan dan merakam kejadian tersebut serta mengugut untuk menularkan di media sosial,” katanya.
Suspek berkenaan direman selama satu hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 156 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.