Rakaman video bantu waris saksikan pengebumian, NGO kongsi pengalaman urus mayat Covid-19

Rakaman video bantu waris saksikan pengebumian, NGO kongsi pengalaman urus mayat Covid-19

Setakat ini, Amal Team Ipoh telah menguruskan lebih 20 jenazah Covid-19 di seluruh Perak.

Wakil Amal Team Ipoh Syahriman Shaari berkata, pihaknya berusaha menguruskan jenazah itu seperti ahli keluarga sendiri kerana membayangkan kesedihan waris yang tidak dibenarkan terlibat. (Gambar Bernama)
IPOH:
Wabak Covid-19 di negara ini telah meragut 2,650 nyawa setakat semalam yang turut merekodkan angka kematian harian tertinggi sebanyak 98 kes.

Kadar kematian yang tinggi ini secara langsung turut memberikan kesan kepada pihak pengurusan jenazah memandangkan hanya pasukan khusus boleh melaksanakan proses itu, dan di daerah ini, tanggungjawab tersebut turut dipikul oleh pertubuhan Amal Team Ipoh.

“Kami sentiasa cuba menguruskan jenazah itu seperti kami menguruskan ahli keluarga sendiri kerana membayangkan kesedihan waris yang tidak dibenarkan terlibat mahupun berada berdekatan liang lahad,” kata wakil badan bukan kerajaan (NGO) itu, Syahriman Shaari, kepada Bernama baru-baru ini.

Menyedari kesedihan ahli keluarga tidak dapat menguruskan sendiri jenazah orang kesayangan, beliau berkata mereka juga merakamkan video semasa pengebumian yang berlangsung dengan kawalan ketat polis itu, bagi dikongsikan dengan waris.

“Kami cuba buat yang terbaik dan kemudian berkongsikan rakaman video pengebumian dengan waris kerana sepatutnya urusan ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.

“Pelbagai suasana menyedihkan dapat dilihat termasuklah ada yang tidak dapat menerima kenyataan hingga menjerit-jerit,” katanya.

Menceritakan proses pengurusan jenazah Covid-19, Syahriman berkata, sebaik dimaklumkan oleh pihak hospital, mereka akan ke jabatan forensik hospital bagi mempersiap jenazah termasuk melaksanakan tayammum dan menyolatkan jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

“Kamilah yang turunkan jenazah ke dalam liang lahad dan selepas itu kami semburkan cecair pembasmi kuman dan timbus kubur tersebut.

“Kemudian kami sembur cecair pembasmi kuman lagi di atas kubur dan kawasan berhampiran,” katanya, menambah proses itu dilaksanakan bersama-sama enam lagi ahli Amal Team Ipoh dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, setakat ini badan itu telah menguruskan lebih 20 jenazah Covid-19 di seluruh Perak dengan sebahagian besarnya di sini.

Antara cabaran yang beliau tidak lupakan ketika menguruskan jenazah Covid-19 adalah hujan lebat menyebabkan air bertakung di dalam liang lahad selain khemah diterbangkan angin ribut.

“Kami mengambil masa selama sejam hanya untuk membuang air yang bertakung sebelum jenazah selamat dikebumikan dan kerja-kerja menyembur cecair pembasmi kuman selesai di sekitar tanah kubur berkenaan,” katanya.

Mengakui wujud kebimbangan dirinya dijangkiti virus, Syahriman berkata, beliau hanya bertawakal kepada Allah selepas mempersiap diri dengan memakai pakaian perlindungan diri serta menjalani proses nyahcemar setiap kali selesai menguruskan mayat Covid-19.

“Nasihat kami kepada semua adalah jangan pandang ringan jangkitan Covid-19 ini. Patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Amal Team Ipoh adalah NGO yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma untuk keluarga asnaf bagi mengurangkan beban mereka manakala operasinya dibiayai menerusi sumbangan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.