PH tuntut kerajaan laksana pelan persekolahan pasca ‘lockdown’, vaksin segera guru

PH tuntut kerajaan laksana pelan persekolahan pasca ‘lockdown’, vaksin segera guru

Kegagalan kerajaan memberi maklum balas proaktif akan memberi kesan buruk ke atas lebih 5 juta pelajar.

Jawatankuasa Pendidikan PH mendesak kerajaan memberi insentif “one-off” kepada guru untuk tujuan pembelian pakej data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menyelesaikan segera masalah pembelajaran di rumah (PdPR), termasuk isu ketiadaan peranti, capaian internet lemah serta sukatan pelajaran tidak sesuai, selain kekurangan bahan pengajaran.

Jawatankuasa Pendidikan PH, yang diketuai Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, mengemukakan empat desakan utama melalui Kementerian Pendidikan (KPM) ke arah penyelesaian segera masalah berkenaan, selain memastikan sistem pendidikan tidak terus terjejas akibat wabak Covid-19 dan perintah sekatan yang dilaksanakan bagi membendung penularannya .

Selain itu, ia juga mendesak kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada semua guru, bukannya mengehadkannya kepada mereka yang berusia serta berisiko sahaja.

Kerajaan juga digesa memberi insentif “one-off” kepada guru untuk tujuan pembelian pakej data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.

“Menyatakan pelan persekolahan pasca sekatan pergerakan (lockdown) secara telus agar guru, ibu bapa dan murid-murid dapat membuat persiapan awal sejak dalam cuti persekolahan lagi.

“Menyegerakan pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang dijanjikan kepada murid-murid dari keluarga B40,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Ia juga meminta kerajaan melalui KPM melaksanakan rancangan jangka panjang sekiranya kaedah pengajaran dan pembelajaran atas talian di rumah dilanjutkan selepas tamat tempoh perintah sekatan menyeluruh.

Maszlee Malik.

“Bilakah Kementerian Pendidikan akan mengumumkan rancangan seterusnya bagi sesi persekolahan yang akan datang?

“Adakah murid-murid akan kembali ke sekolah ataupun mengikuti kaedah PdPR atau apakah pelannya jika sekatan perjalanan dilanjutkan atau ditamatkan.

“Kita tidak mahu keputusan saat terakhir seperti kelazimannya,” katanya.

Katanya, kegagalan kerajaan, khususnya menteri dan dua timbalan menteri pendidikan, memberi maklum balas yang proaktif akan memberi kesan buruk kepada lebih 5 juta pelajar.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah sekatan menyeluruh selama dua minggu bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Langkah itu diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang meningkat mendadak dan menyaksikan angka kematian melebihi 50 orang sehari sepanjang minggu ini.

Semalam negara mencatatkan kes baharu Covid-19 sebanyak 9,020 dengan angka kematian tertinggi seramai 98 orang.

Dalam kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan perkembangan itu sebagai “detik hitam” sejak wabak ini menular awal tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.