
Pemergian Allahyarham dimaklumkan Facebook rasmi Jabatan Mufti Perak.
“Dukacita dimaklumkan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru sahaja meninggal dunia,” menurut entri tersebut.
Harussani dan isterinya disahkan positif Covid-19 sejak sebelum Aidilfitri. Beliau kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Pada 24 Mei lalu, anaknya, Ahmad Wafi Harussani memaklumkan bapanya masih dirawat di ICU dan ibunya, Ainon Abdul Ghani sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Harussani, 82, dilantik sebagai Mufti Perak mulai 1985 sehingga kini. Beliau turut memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kerajaan pusat.
Ia termasuk pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-bahan Terbitan Berunsur Islam, timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran, ahli Majlis Fatwa Kebangsaan serta pengerusi Jawatankuasa Syariah Perak.
Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Sungai Rapat di Ipoh.
Allahyarham dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dan meninggalkan isteri serta empat orang anak.
Allahyarham menjadi Mufti Perak sejak 1985 dan mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008 selain Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam yang membawa gelaran Doktor pada 2010.