
Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd Abdul Razak Md Hassan berkata, pertikaian kontrak tidak boleh mengatasi kepentingan keselamatan.
“Kami tidak peduli pihak mana yang mendapat kontrak. Kebimbangan kami ialah setiap hari projek ini tertangguh, risiko keselamatan yang dihadapi penumpang dan kaki tangan kami bertambah,” katanya kepada FMT, sekali gus merujuk kepada risiko kereta api tergelincir.
Peringatan itu dibuat susulan insiden pertembungan tren LRT di pusat bandar raya Kuala Lumpur minggu lepas yang menyaksikan lebih 200 penumpang cedera.
Razak berkata, projek KVDT2 melibatkan penggantian landasan lama berusia 26 tahun.
Beliau berkata, tanpanya, kereta api berdepan risiko tergelincir dan kelewatan.
Projek itu tertangguh susulan kes mahkamah selepas kerajaan membatalkan kontrak yang pada asalnya diberikan kepada Dhaya Maju-Lembaga Tabung Angkatan Tentera pada awal 2018.
Ia tertangguh dua kali. Kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membatalkan kontrak berkenaan atas alasan kos.
Kontrak Dhaya maju –LTAT dibatalkan pada Oktober 2018, tetapi dilantik semula pada Julai 2019 selepas kerajaan PH mengakui bahawa tiada asas untuk menamatkan kontrak berkenaan.
Kos asalnya bagaimanapun dikurangkan selaras dengan pengecilan skop kerja.
September lepas, kerajaan PN membatalkan kontrak syarikat berkenaan sekali lagi, sekali gus menyebabkan pertikaian itu dibawa ke mahkamah.
Razak berkata, kereta api tidak boleh bergerak selaju yang sepatutnya di beberapa tempat kerana risiko tergelincir.
“Beberapa minggu lepas, kita mengalami dua kegelinciran, iaitu di Shah Alam dan Bangi. Landasan itu adalah sebahagian daripada KVDT2,” katanya.
“Kerajaan tidak boleh menangguhkan lagi projek ini. Kami minta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.”
Razak berkata, penangguhan juga memberi kesan ke atas keuntungan KTM kerana syarikat logistik dan penghantaran memilih kaedah pengangkutan yang lebih cekap.
Risiko politik
Sumber kerajaan memberitahu FMT bahawa Putrajaya maklum tentang kesan politik bukan sahaja penangguhan projek berkenaan, tetapi juga keputusan membatalkan kontrak Dhaya Maju-LTAT.
Sumber berkata, LTAT mempunyai kepentingan besar dalam projek itu dan faedah sampingannya seperti peluang pekerjaan dan pembangunan vendor.
Difahamkan bahawa LTAT bakal mendapat jaminan keuntungan sebanyak RM80 juta daripada projek itu yang dijangka menyumbang kepada dividennya.
Keputusan yang tidak menguntungkan LTAT dan dana persaraan angkatan tentera boleh menyebabkan kerajaan “hilang banyak undi”.
“Bagaimanapun kebimbangan utama ialah isu keselamatan. Kerajaan dan Prasarana dikritik keras berhubung insiden pertembungan tren LRT.
“Bagaimana jika kereta api KTM pula tergelincir dan penumpang cedera atau lebih buruk lagi,” kata sumber.
“Saya difahamkan bahawa Kabinet akan membincangkan perkara ini dalam masa terdekat.
“Saya tidak pasti apakah keputusan kerajaan, tetapi berharap ia membuat keputusan yang tepat,” kata sumber itu lagi,