
ADUN DAP, Phoong Jin Zhe dan Justin Wong serta ADUN Warisan, Rina Jainal dalam kenyataan bersama hari ini meminta bantuan khas itu diberikan kepada B40, M40, petani, peladang serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Mereka turut menyarankan ujian saringan Covid-19 secara percuma dan meluas di setiap daerah, khususnya di kawasan luar bandar, serta kerajaan negeri mengambil peranan proaktif membeli vaksin untuk rakyat Sabah dan menambah pusat pemberian vaksin bagi mempercepatkan proses imunisasi di negeri berkenaan.
“Kami juga mencadangkan kerajaan negeri mengumumkan pengecualian bil air dan diskaun ke atas bil elektrik dan meluluskan peruntukan khas untuk membantu belia di Sabah, khususnya anak muda yang menganggur.
“Peruntukan khas kepada ADUN di Sabah juga perlu ditambah untuk tujuan pengagihan bakul makanan di kawasan masing-masing, selain memperuntukkan ‘bantuan orang susah’ kepada ADUN pembangkang supaya rakyat yang susah dapat diberi bantuan wang tunai di waktu sukar ini.
”Murid di Sabah, khususnya daripada golongan B40 perlu diberikan laptop atau tablet bagi membolehkan mereka mendapat akses pembelajaran berkualiti.”
Mereka mencadangkan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat khas membabitkan semua ADUN dan Ahli Parlimen di Sabah bagi memberi pandangan untuk membendung penularan Covid-19 seperti yang dilakukan kerajaan Johor Khamis lalu.