Lelaki diperdaya ‘runner’, beli telefon pintar murah

Lelaki diperdaya ‘runner’, beli telefon pintar murah

Mangsa yang berusia 27 tahun itu mendakwa diperdayakan oleh lelaki yang sering menggunakan perkhidmatannya sebagai 'runner' untuk membeli dan menghantar barang.

Mangsa turut ditawarkan sebuah komputer riba dan sebuah lagi telefon pintar pada harga RM1,000 menyebabkan sekali lagi mangsa bersetuju disebabkan harga yang murah.
KUANTAN:
Seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa diperdayakan dalam urusan pembelian barangan elektronik murah termasuk dua telefon pintar jenama terkenal yang dijual pada harga RM500 seunit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 27 tahun itu mendakwa diperdayakan oleh lelaki yang sering menggunakan perkhidmatannya sebagai ‘runner’ untuk membeli dan menghantar barang.

“Selepas lebih sebulan berkenalan, iaitu sekitar awal bulan ini, suspek dikatakan menawarkan telefon pintar itu dan mangsa mendakwa terus bersetuju kerana harganya yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

“Tiga hari selepas itu, suspek menawarkan pula sebuah komputer riba dan sebuah lagi telefon pintar pada harga RM1,000 menyebabkan sekali lagi mangsa bersetuju disebabkan harga yang murah,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa telah membuat bayaran penuh terhadap semua barangan itu menerusi dua transaksi pemindahan wang dalam talian, namun mula berasa curiga apabila suspek tidak membalas pesanan WhatsApp dihantarnya.

“Mangsa yang menunggu selama tiga hari kemudiannya telah ke rumah suspek, namun dimaklumkan oleh jiran suspek bahawa lelaki itu telah berpindah,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.