Jangan sasar pendatang asing jika mahu banteras Covid-19, kerajaan diberitahu

Jangan sasar pendatang asing jika mahu banteras Covid-19, kerajaan diberitahu

Kerajaan harus sedar penahanan secara besar-besaran hanya akan meningkatkan kes jangkitan Covid-19.

Lawyers for Liberty berkata, ‘strategi tipu helah’ dengan menggunakan perintah sekatan untuk menyasarkan pendatang tanpa izin hanya akan memburukkan krisis kesihatan.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memikirkan semula rancangannya untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap warga asing tanpa dokumen kerana ia tidak membantu mengawal krisis kesihatan yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

Dalam kenyataan, penyelaras Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata, “strategi tipu muslihat” dengan menggunakan perintah sekatan sebagai alasan untuk menyasarkan pendatang asing tanpa dokumen hanya akan memburukkan krisis yang sedang berlaku.

“Susulan kemunculan kluster Covid-19 di penjara dan pusat tahanan di seluruh negara tahun lepas, kerajaan seharusnya sedar bahawa penahanan secara besar-besaran hanya akan meningkatkan kes jangkitan Covid-19.

“Ini sangat membimbangkan, terutama sekali kerana angka jangkitan kini mencecah bilangan beberapa ribu kes setiap hari.

Zaid Malek.

“Kluster baharu sudah pasti akan menambah tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan kita yang sedia terbeban.”

Beliau berkata, walaupun bilangan pusat tahanan ditambah sekali pun, tiada jaminan tidak akan berlakunya kesesakan sekali lagi atau wujudnya sistem pencegahan jangkitan dalam kemudahan tersebut.

“Oleh itu kami menggesa kerajaan supaya menimbangkan semula rancangan untuk menjalankan operasi besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa dokumen.

“Tidak ada kewajarannya langkah menghantar warga asing ini ke penjara dan pusat tahanan kita yang sedia sesak.”

Beliau merujuk sidang media Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin semalam yang berkata, sumber tambahan akan digunakan untuk menempatkan tahanan baharu jika perlu.

Sharan Raj.

Anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sharan Raj menyokong pandangan LFL dengan berkata, keutamaan sekarang ialah mengurangkan, bukan menambah kesesakan di pusat tahanan.

“Menurut Suhakam, penjara di Malaysia amat sesak melebihi 40%, sekali gus menyediakan persekitaran ideal untuk jangkitan Covid-19.

“Menahan pendatang asing tanpa dokumen sebagai tahanan baharu di penjara akan meningkatkan bilangan kes Covid-19 kerana kesesakan.”

Beliau berkata, jumlah tahanan di penjara boleh dikurangkan sehingga 80%, dengan menyebut bahawa 25% tahanan menanti perbicaraan, sementara 55% adalah berkaitan kesalahan dadah.

“Pemilikan dadah untuk kegunaan persendirian perlu didekriminalisasikan bagi membolehkan mereka dirawat sebagai pesakit perubatan, bukannya penjenayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.