
Sebaik menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 11.52 pagi, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian di Kampung Teluk Pelandok, kata Ketua Balai Bomba Teluk Kemang Mohd Kamal Mohd Timar.
Anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati rumah jenis separuh kekal berstruktur batu-bata dianggarkan berkeluasan 30×50 kaki persegi itu 80% terbakar, katanya.
“Ketika kejadian, kami dimaklumkan ada enam orang dalam rumah termasuk mangsa iaitu ibu, datuk dan nenek serta dua lagi adik beradik mangsa.
“Kelima-lima mereka berjaya menyelamatkan diri dan tidak perasan kanak-kanak berkenaan tiada bersama mereka ketika itu,” beliau dipetik Bernama sebagai berkata.
Namun, katanya, disebabkan api yang semakin marak, mereka tidak dapat masuk kembali ke dalam rumah untuk mencari mangsa.
Mohd Kamal berkata, kebakaran berjaya dikawal pada kira-kira 12.20 tengah hari dengan operasi pemadaman kebakaran ditamatkan pada 1.55 tengah hari.
Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, tambahnya.