
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, mengetahui peraturan operasi standard (SOP) lebih awal memberi lebih masa kepada orang ramai untuk membuat persiapan.
“Pada masa sama, perniagaan yang tidak termasuk dalam senarai juga boleh tahu mengenai sokongan kerajaan yang diperlukan bagi membantu mereka dan pekerja menjalani fasa pertama perintah sekatan itu,” katanya kepada FMT.
Fahmi juga berkata, SOP dan senarai sektor juga akan membantu rakyat merancang persiapan yang perlu untuk beberapa minggu ke hadapan, termasuk urusan pengendalian penjagaan anak-anak, makanan dan logistik lain.
SOP bagi sektor yang dibenarkan beroperasi semasa perintah sekatan hendaklah merangkumi aspek praktikal dan teknikal bagi menyediakan persekitaran kerja lebih baik.
“SOP berkenaan ventilasi dan peredaran udara mesti disediakan berserta saringan tetap atau mingguan RTK-Antigen untuk semua atau peratusan tertentu pekerja yang datang bekerja, selain langkah segera yang perlu diambil sekiranya kes baharu dikenal pasti,” katanya.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, kerajaan jelas lambat dalam mengumumkan SOP yang diperlukan.
Yii berkata, tidak harus ada pengumuman saat akhir kerana perniagaan perlukan masa untuk membuat penyesuaian dan persediaan perlu dalam mematuhi SOP baharu.
“Umumkan SOP pada awal pagi dan sediakan talian untuk dihubungi jika orang ramai mempunyai kemusykilan. Janganlah umumkan pada pukul 5 petang apabila semua pejabat ditutup,” katanya.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, kerajaan “tersalah langkah” apabila ia mengumumkan pelaksanaan perintah sekatan menyeluruh tanpa mendedahkan SOP serta-merta.
Charles berkata, SOP sepatutnya didedahkan sekurang-kurangnya lima hari sebelum perintah sekatan menyeluruh dikuatkuasakan bagi membolehkan perniagaan membuat persiapan lebih baik.
“Tanpa perancangan baik daripada kerajaan akan meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat dan juga memberi gambaran bahawa kerajaan tidak cekap,” katanya.
Perintah sekatan menyeluruh selama dua minggu mula berkuat kuasa pada 1 Jun sehingga 14 Jun.
Kerajaan tidak mendedahkan peraturan tertentu, bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka mengeluarkan SOP baharu sebelum perintah itu mula dilaksanakan.