
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, tiga PPV mega terbabit akan dibuka di Selangor, manakala dua lagi di Kuala Lumpur.
“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membuat keputusan untuk meningkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang.
“Justeru mulai 7 Jun ini, kita akan menambah PPV berskala mega,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) yang akan memulakan operasinya esok.
Beliau yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, memaklumkan di Selangor, PPV mega itu akan dibuka di Pusat Konvensyen The Mines, Seri Kembangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City.
Sementara itu di Kuala Lumpur pula, PPV berkenaan akan dibuka di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Beliau juga akan turun ke Pulau Pinang dan Johor bagi membincangkan untuk membuka PPV mega di negeri berkenaan yang juga akan diperlus ke negeri lain.
Sementara itu, Khairy juga berkata akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengenai vaksin untuk pendatang yang tidak memiliki dokumen.
Ini susulan Hamzah semalam mengatakan kementeriannya akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pendatang.
Khairy sebelum ini menegaskan pendatang turut dimasukkan dalam proses vaksinasi dan tidak akan ditahan sekiranya tampil untuk mendapatkan suntikan.
Mohon dengan Arab Saudi benarkan jemaah disuntik vaksin Sinovac
Mengulas keputusan Arab Saudi hanya mengiktiraf vaksin jenama Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca untuk jemaah menjalankan ibadat haji dan umrah musim ini, Khairy berkata, pihaknya akan berbincang dengan negara itu supaya mereka yang telah mendapat suntikan jenama Sinovac diberi kelonggaran.
“Saya juga minta nasihat jawatankuasa pakar kita sama ada setelah disuntik Sinovac, mereka boleh disuntik dengan Pfizer, itu belum saya terima jawapan,” katanya.