Majlis Peguam gesa siasat kematian tahanan di Penjara Simpang Renggam

Majlis Peguam gesa siasat kematian tahanan di Penjara Simpang Renggam

Presidennya, AG Kalidas berkata, Akta Koroner perlu diperkenalkan untuk mengukuhkan peranan mereka dalam proses siasatan.

Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas berkata, pembaharuan segera diperlukan untuk menangani kes kematian dalam tahanan yang mencemarkan negara. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Majlis Peguam menggesa siasatan bebas ke atas kes kematian terbaru dalam tahanan membabitkan Surendran Shanker.

Lelaki berusia 21 tahun itu meninggal dunia Khamis lalu akibat kejutan septik dengan kegagalan pelbagai organ di Hospital Kluang, kurang sebulan selepas dipindahkan ke Penjara Simpang Renggam.

Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas berkata, mereka “terkejut dan sedih” dengan kematian pemuda itu dan pembaharuan segera diperlukan untuk menangani kematian dalam tahanan yang mencemarkan negara.

“Majlis Peguam menggesa siasatan bebas segera dan menyeluruh ke atas kematian Surendran melalui inkuiri atau inkues, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.

AG Kalidas.

“Timbul kemarahan masyarakat akibat keadaan ini, yang mungkin menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap pihak berkuasa dan kerajaan terhakis. Sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan dan persepsi ini.”

Kalidas berkata, terdapat keperluan untuk memperkenalkan Akta Koroner bagi mengukuhkan peranan koroner dalam proses siasatan.

“Majlis Peguam mahu dirunding berhubung perkara ini dan bersedia membantu untuk memastikan akta yang berkesan dan komprehensif dilaksanakan.”

Kematian Surendran menyusul hanya sebulan selepas penjual susu lembu, A Ganapathy meninggal dunia pada 18 April lalu dan pengawal keselamatan, S Sivabalan pada 20 Mei. Kedua-duanya meninggal dunia di hospital selepas ditahan di balai polis Gombak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.