Lebih 1 juta individu lengkap 2 dos vaksin Covid, kata Dr Adham Baba

Lebih 1 juta individu lengkap 2 dos vaksin Covid, kata Dr Adham Baba

Menteri Kesihatan berkata, 1,771,810 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama serta kedua sebanyak 2,786,152 setakat semalam.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, Selangor melengkapkan penerima dua dos tertinggi.
PETALING JAYA:
Seramai 1,014,342 individu di negara ini telah mendapat dua dos lengkap vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata di Twitter, 1,771,810 individu telah menerima dos pertama, dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua sebanyak 2,786,152 setakat semalam.

Dr Adham berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 138,063 dos diikuti Sarawak (96,450), Kuala Lumpur (94,397), Perak (90,882) dan Johor (88,240).

Setakat semalam, 48.60% atau 11,788,915 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,159,392 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Susulan itu, fasa ketiga yang dijadualkan pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun ke atas bagi warganegara serta bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.