Bilal juga pemandu Grab pencetus kluster di Sabah

Bilal juga pemandu Grab pencetus kluster di Sabah

Lelaki itu dipercayai dijangkiti jemaah yang gagal mematuhi SOP ketat ketika berada di masjid.

Bilal Masjid Al Falah di Kepayan itu yang juga pemandu Grab dikenal pasti kes indeks Kluster Patuma. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Seorang bilal yang juga pemandu Grab dikenal pasti sebagai kes indeks sebuah kluster di Sabah.

Jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, kluster Patuma dikesan pada 18 Mei lalu, selepas lelaki berusia 55 tahun itu menjalani ujian saringan bergejala di sebuah klinik swasta.

Katanya, warga emas itu ialah bilal untuk Masjid Al Falah di Kepayan, di sini.

“Berdasarkan siasatan awal, kes indeks itu dipercayai dijangkiti seorang jemaah yang gagal mematuhi SOP ketat ketika berada di masjid itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Selain itu, jangkitan itu berpotensi disumbangkan beberapa jemaah lain yang ke masjid itu walaupun mempunyai gejala.”

Masidi, yang juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan negeri berkata, susulan kes itu, sebuah pasukan melakukan saringan kontak rapat dan mengesan 10 kes lain, menjadikan 11 kes positif direkodkan untuk kluster terbabit.

Katanya, 133 orang sudah disaring setakat ini, dengan 33 daripadanya masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah merekodkan 265 kes baharu, berkurangan 43 kes berbanding semalam.

Beliau berkata, lebih separuh atau 134 kes dikesan melalui saringan kontak rapat.

Katanya, keberkesanan membendung penularan Covid-19 sangat bergantung kepada sejauh mana masyarakat tekad mematuhi kawalan kendiri dan SOP ditetapkan kerajaan.

Sabah mencatatkan 61,847 kes Covid-19, dengan 1,047 pesakit masih dirawat di hospital dan pusat rawatan berisiko rendah, antara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.