
Menterinya, Abd Latiff Ahmad berkata, angka itu mampu dicapai melalui pelbagai kempen dan inisiatif pihaknya bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan sejak PKD diaktifkan sebagai Pusat Daftar Vaksin (PDV), 20 Mei lalu.
“Kita yakin sasaran itu mampu dicapai susulan negara dijangka akan melaksanakan 150,000 suntikan vaksin sehari apabila jumlah bekalan vaksin lebih tinggi diterima pada bulan depan.
“Saya berpendapat bahawa ia banyak bergantung kepada inisiatif pengurus PKD, selain kerjasama daripada pusat khidmat wakil rakyat masing-masing dengan PKD,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PDV di PKD Serting Ilir, Bahau, di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat semalam, seramai 3,087 individu daripada kelompok luar bandar di seluruh negara mendaftar untuk PICK melalui PKD.
Menurutnya, lokasi PKD yang terletak di kawasan luar bandar selain kebolehan pengurus PKD dalam membantu mengendalikan proses pendaftaran itu secara teratur, akan membolehkan kerajaan meningkatkan jumlah pendaftar dan penerima vaksin di seluruh negara dengan pantas.
Sementara itu Abd Latiff berkata, pengoperasian PKD sebagai PDV akan disesuaikan dengan kaedah secara talian telefon dan aplikasi WhatsApp kepada Pengurus PKD, susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh membuat janji temu dengan kehadiran minimum selain kaedah secara pandu lalu di PKD terpilih.