
Dalam kenyataan, CITF menjelaskan, tempahan itu juga dibuat tanpa persetujuan individu terbabit, termasuk tempahan dibuat platform dalam talian SElangkah yang diperkenal kerajaan Selangor.
“CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang banyak ini telah dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama.
“Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca maka menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada,” kata kenyataan itu.
CITF turut memaklumkan isu lain yang timbul termasuklah janji temu yang telah diberikan sebelum ini di pusat pemberian vaksin (PPV) bukan AstraZeneca telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.
Katanya, SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan semula janji temu yang sebelumnya.
Media semalam melaporkan kekecewaan dan kemarahan warganet terhadap sistem “kurang cekap” untuk pendaftaran pusingan kedua vaksin AstraZeneca kelmarin belum berakhir, apabila Twitter hari ini dibanjiri rasa tidak puas hati segelintir pengguna yang belum mendapat pengesahan rasmi dalam aplikasi MySejahtera.
Lebih membingungkan warganet apabila mereka yang gagal menempah slot, menerima notifikasi dalam aplikasi MySejahtera semalam menyatakan layak menerima vaksin itu.