Kerja pembaikan landasan tumpu aspek keselamatan hari ini, kata Wee

Kerja pembaikan landasan tumpu aspek keselamatan hari ini, kata Wee

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, pemeriksaan bermula sekitar 12.19 tengah malam tadi.

Semalam Wee mengumumkan dua tren yang bertembung di dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC pada 24 Mei berjaya dikeluarkan lebih awal daripada tempoh tiga hari seperti dijanjikan. (Gambar Facebook Wee Ka Siong)
PETALING JAYA:
Kerja-kerja pembaikan landasan tren LRT di stesen KLCC – Kampung Baru laluan Kelana Jaya masih berjalan dengan tumpuan terhadap aspek keselamatan pada hari ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, pemeriksaan bermula sekitar 12.19 tengah malam tadi membabitkan 10 anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati laluan kecemasan di sebelah kanan landasan 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran.

“Ia perlu diambil tindakan pembaikan segera,” katanya dalam catatan di Facebook.

Sementara itu Wee berkata, pasukan pemeriksaan juga mendapati tiga “klip rel” tidak dipasang pada bahagian landasan dan pihak Rapid Rail telah memasang klip tersebut serta-merta.

Katanya, APAD juga mengarahkan Rapid Rail menggantikan “linear heat detector sensor cable “ yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga terowong 96 sepanjang 28.5 meter.

“Ini adalah untuk memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik dari stesen KLCC sehingga stesen Kampung Baru.

“Pihak Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah komponen keselamatan kritikal dalam operasi utama bagi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT),” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya masih lagi mengikut pelan alternatif dengan menggunakan satu landasan.

Semalam Wee mengumumkan dua tren yang bertembung di dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC pada 24 Mei lalu berjaya dikeluarkan lebih awal daripada tempoh tiga hari seperti dijanjikan.

Isnin lalu, dua tren LRT bertembung dalam terowong di laluan Kelana Jaya mengakibatkan 213 penumpang cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.