
Dalam kenyataannya hari ini, Pengerusi Malaysia Airport, Zambry Abd Kadir, berkata Muhyiddin memberikan jaminan itu selepas diberikan taklimat oleh Malaysia Airport berhubung kedudukan terkini LTSAAS serta perancangan yang telah tersedia bawah pelan perancangan “Subang Airport Regeneration”.
Zambry berkata, Malaysia Airport masih belum menerima sebarang cadangan untuk membangunkan semula LTSAAS baik daripada kerajaan atau syarikat swasta meskipun terdapat banyak laporan mengenainya.
“Mesyuarat ahli lembaga pengarah hari ini mengambil maklum tentang berita yang tersebar di luar tentang cadangan pengambilalihan LTSAAS Subang oleh pihak swasta.
“Meskipun tiada kertas cadangan yang telah diterima oleh Malaysia Airports secara rasmi sama ada daripada pihak kerajaan atau swasta,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, WCT Holding, yang dikuasai taikun hartanah, Desmond Lim, mengemukakan kepada kerajaan kertas cadangan untuk mengambil alih Lapangan LTSAAS dan kawasan sekitar untuk pembangunan komersial, termasuk pusat beli-belah, pejabat, dan tempat pameran.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan pembangunan semula LTSAAS masih di peringkat awal dan sebarang pertimbangan serta keputusan akhir akan dibuat Kabinet.
Zambry berkata, Perdana Menteri mengambil maklum tentang peranan MAHB dalam sektor penerbangan dan industri berkaitan.
“Lantaran itu, kami menaruh keyakinan dengan komitmen Perdana Menteri dalam memastikan LTSAAS Subang kekal sebagai aset strategik dan keselamatan negara.
“Malaysia Airport berkeyakinan bahawa cadangan dan pandangan yang dikemukakan bagi mengekalkan LTSAAS Subang sebagai sebuah pusat penerbangan dan aeroangkasa akan dikekalkan selaras dengan pelan perancangan “Subang Airport Regeneration” yang telah dirangkakan,” katanya.
LTSAAS Subang kini merupakan pusat MRO kedua terkemuka di Asia dan keempat di dunia.