
Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Dr Abdul Rahman Omar, berkata mesej yang tular mengenai kajian itu tidak benar dan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Mesej tular yang berlegar di media sosial dan aplikasi WhatsApp itu antara lain menyebut “UPM sudah mula buat kajian kerana semakin ramai yang memelihara kucing dijangkiti penyakit Covid-19. UPM ingin dapatkan bukti yang kucing jadi pembawa virus Covid-19 dan disebarkan kepada manusia,”.
Abdul Rahman berkata, UPM hanya menjalankan kajian dengan objektif utama adalah untuk mengetahui sekiranya haiwan peliharaan seperti kucing boleh dijangkiti Covid-19 daripada pemilik mereka.
“Kajian ini telah mendapat penyertaan yang mencukupi daripada pesakit Covid-19 dan telah ditutup mulai 23 Mei 2021.
“Sampel yang diambil daripada kucing ialah calitan hidung, mulut, rektum dan darah.
“Selain itu, pemilik kucing juga diminta menjawab kajian soal selidik mengenai sejarah penyakit Covid-19 yang mereka hadapi berserta maklumat mengenai haiwan dan cara pengendaliannya,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rahman berkata, hasil kajian itu digunakan sebagai panduan atau cadangan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 daripada pemilik haiwan kepada kucing mereka.
Beliau berkata, sehingga kini tiada bukti saintifik mengaitkan kucing atau sebarang haiwan peliharaan sebagai penyebar virus Covid-19 kepada manusia atau haiwan lain.
Berikutan itu, pihaknya menggesa orang ramai termasuk pemilik dan pencinta haiwan supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan mesej yang diterima.
“Kami berharap semua pihak dapat menghentikan sebaran mesej itu kerana ia adalah salah dan bertentangan dengan tujuan sebenar kajian yang dijalankan pihak kami,” katanya.
Sebelum ini, tular mesej di media sosial dan aplikasi WhatsApp mendakwa UPM sudah mula membuat kajian kerana semakin ramai yang memelihara kucing dijangkiti penyakit Covid-19.