
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, J Suresh berkata, pelaksanaan sekatan itu hanya menyusahkan pengusaha restoran, perkhidmatan penghantaran makanan dan pelanggan.
“Sukar bagi pengendali (kedai makan) kerana mereka harus mengambil pesanan terakhir pada jam 7 malam sebelum perlu segera menutup restoran mereka,” katanya kepada FMT sambil menambah mustahil untuk premis tutup jam 8 malam terutama ketika pesanan banyak dibuat.
Suresh berkata, larangan itu juga akan membahayakan nyawa penumpang penghantaran makanan kerana mereka perlu bergegas bagi memenuhi pesanan terakhir mereka.
Beliau mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi sebagai langkah penyelesaian iaitu sehingga 10 malam selain dapat mengelakkan pengusaha terpaksa mengejar waktu.
“Saya cadangkan kerajaan melihat semula perkara ini dengan serius dan membiarkan restoran beroperasi sehingga sekurang-kurangnya jam 10 malam.”
Dalam pada itu, jurucakap Grab berkata, jumlah penunggang e-hailing yang tersedia untuk penghantaran adalah mencukupi.
“Selain penunggang e-hailing, kami juga memiliki pemandu GrabCar yang mengirimkan pesanan makanan,” katanya kepada FMT.
Namun, beliau menasihati pelanggan agar menjadualkan pesanan mereka supaya mereka dapat menerima makanan tepat pada waktunya.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung, Rusli Affandi berkata, peraturan ketat di bawah PKP ketiga itu tidak masuk akal baginya.
“PKP 3.0 adalah satu sindiran. Apa gunanya sekatan sekiranya kerajaan menerapkan amalan dua darjat dalam menegakkan undang-undang dan mengekang penyebaran Covid-19?”