Penemuan lelaki mati dibunuh kejam, empat suspek ditahan

Penemuan lelaki mati dibunuh kejam, empat suspek ditahan

Mayat hanyut ditemui dalam keadaan hancur pada bahagian muka dan bahu hingga ke lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz berkata mangsa dipercayai meninggal dunia lebih dua hari. (Gambar Facebook)
IPOH:
Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan kejam seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam keadaan hancur pada bahagian muka dan bahu hingga ke lengan kiri, di Sungai Desa Aman petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz berkata keempat-empat suspek lelaki berusia antara 26 dan 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki yang dipercayai A Preshna, 40, yang mempunyai 20 rekod jenayah dan dadah, oleh orang awam pada kira-kira 6 petang.

“Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan berikutan laporan polis oleh teman wanita Preshna yang mendakwa teman lelakinya itu telah dipukul dan tangannya telah diikat oleh tiga lelaki sebelum dia dihalau pulang.

Menurutnya dua saksi di tempat kejadian semalam yang melihat mayat hanyut dari kawasan jambatan telah menahannya menggunakan sebatang buluh dan mengikat tangannya ke batang kayu berdekatan sebelum menghubungi polis.

“Terdapat beberapa tatu yang disyaki tatu kongsi gelap 08 dan labah-labah pada badan si mati serta terdapat kecederaan gigitan binatang pada bahagian badannya,” katanya.

Asmadi berkata siasatan awal pihak patologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mengesahkan kecederaan di seluruh badan si mati itu disyaki akibat digigit haiwan, dan lelaki itu dipercayai meninggal dunia lebih dua hari.

Katanya hasil bedah siasat ke atas mayat pada pagi tadi mendapati kematian berpunca daripada kecederaan tisu lembut disebabkan oleh objek tumpul, mungkin penumbuk, kayu atau rotan.

“Terdapat juga luka lebam akibat pergelutan atau luka mempertahankan diri pada tangan kanannya.

“Pemeriksaan luaran badan si mati pula mendapati terdapat banyak kesan luka lebam di bahagian kepala, dada, perut, tangan kanan dan kedua-dua belah kaki,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.