Bunuh bekas abang ipar di pagi raya, penganggur didakwa di mahkamah

Bunuh bekas abang ipar di pagi raya, penganggur didakwa di mahkamah

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Amin Mohamad, 32, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Majistret Jasin.

Tertuduh, Mohd Amin Mohamad, 32, didakwa membunuh Hanafiah Hanafi, 36, dalam kejadian di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai, antara 7 hingga 7.30 pagi pada 13 Mei 2021. (Gambar Benama)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas pertuduhan membunuh bekas abang iparnya pada pagi Aidilfitri.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Amin Mohamad, 32, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Tertuduh didakwa membunuh Hanafiah Hanafi, 36, dalam kejadian di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai, antara 7 hingga 7.30 pagi pada 13 Mei 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, menurut laporan Harian Metro.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Singh.

Tertuduh turut berdepan empat lagi pertuduhan masing-masing dua di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa memukul Mah Azrul Mah Hussin, 39, menggunakan tangan di bahagian kepala dan muka beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan patah rahang kanan dalam kejadian di lokasi sama pada 11.55 malam, 11 Mei 2021.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A pula, dia didakwa mendatangkan kecederaan ke atas Hashimah Hanafi, 32, yang ketika itu masih isterinya, dengan menggunakan rotan dalam kejadian di Permatang Pasir Alai kira-kira 5 petang pada 15 Dis 2020.

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas dua anak perempuannya masing-masing berusia 10 dan lapan tahun menggunakan rotan dalam kejadian di Permatang Pasir Alai pada 5 petang, 15 Dis tahun lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua empat pertuduhan itu.

Mahkamah menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Mohd Sukri Kaman berkata, dalam kejadian pada 13 Mei, mangsa berusia 36 tahun itu maut ditikam selepas berlaku pertengkaran dan pergelutan dengan suspek.

Sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa yang turut didiami bekas isterinya, iaitu adik mangsa, dalam keadaan marah.

“Suspek bercerai dengan bekas isterinya pada Januari lepas dan datang ke rumah mangsa kerana hendak mengambil kedua-dua anaknya. Mungkin untuk beraya bersama,” katanya.

Sukri berkata, dalam pergelutan dengan suspek, mangsa ditikam di rusuk kanannya dengan pisau yang dibawa suspek.

Suspek berjaya diberkas pada 6.30 petang hari sama berhampiran lokasi kejadian ketika cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal.

“Ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,” kata Sukri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.