
Dalam sidang media hari ini, aktivis Arun Dorasamy berkata, beliau turut menasihatkan saksi itu, T Previin, menolak tawaran perlindungan polis.
Perkembangan ini susulan ancaman diterima saksi berusia 22 tahun itu daripada keluarga dan rakan tertuduh kes berkenaan.
Previin yang turut mendakwa dipukul bersama Nhaveen dalam pergaduhan yang meragut nyawa rakannya itu pada 2017, memfailkan laporan polis pada hujung minggu lalu bahawa beliau menerima ugutan bunuh daripada tiga lelaki.
Perbicaraan kes bunuh Nhaveen sedang berjalan tetapi ditangguhkan buat masa ini sehingga 29 Jun. Previin masih belum memberi keterangannya kepada mahkamah.
Dalam sidang media hari ini, Arun berkata tawaran polis untuk memberi perlindungan kepada Previin mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009 mungkin menjejaskan kebebasan peribadinya.
Arun berkata, jika Previin diletakkan di bawah perlindungan saksi seperti itu, beliau berkemungkinan ‘dibuang’ ke negeri dan diberikan identiti baharu malah memutuskan hubungan sepenuhnya dengan orang tersayang sehingga kes itu selesai.
“Kami akan membawa Previin ke lokasi yang tidak didedahkan buat masa ini untuk melindunginya, dan membawanya ke mahkamah apabila diperlukan,” katanya.
Terdahulu, Arun menemani Previin untuk perbarisan pengecaman bagi mengenal pasti tiga lelaki yang didakwa mengugutnya sebanyak dua kali tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata Previin bebas berbuat apa saja, namun tawaran perlindungan saksi daripada polis masih terbuka.
Dalam laporan polis bertarikh 22 Mei, Previin mendakwa tiga lelaki telah mengugutnya dua kali iaitu sekali di luar rumahnya di Bukit Gelugor, dan sekali lagi di sebuah restoran di Bandar Baru Air Itam.
Previin mendakwa mereka mengugut membunuhnya sebaik empat remaja yang dituduh dengan pembunuhan Nhaveen dibebaskan. Tiga lelaki itu mendakwa diri mereka rakan tertuduh terlibat.
Beliau turut mendakwa kejadian berlaku pada Februari dan Mac tahun lalu, namun tidak membuat laporan polis selepas dihalang seorang pegawai berpangkat inspektor di balai polis Jelutong.
Empat remaja itu termasuk dua yang bawah umur ketika kejadian, didakwa membunuh Nhaveen berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara jam 11 malam dan tengah malam 9 Jun 2017.