Tren ‘bercium’, tak sensitif isu nahas LRT, Tajuddin perlu dipecat, kata Santiago

Tren ‘bercium’, tak sensitif isu nahas LRT, Tajuddin perlu dipecat, kata Santiago

Ahli Parlimen Klang itu menyifatkan jawapan Tajuddin kepada wartawan dalam sidang media sebagai tidak sensitif terhadap nahas LRT yang berlaku dua hari lalu itu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menghentam Tajuddin Abdul Rahman kerana bergurau tentang kemalangan LRT, apabila beliau berkata tren-tren berkenaan ‘bercium’, ketika menjawab soalan pada sidang media.
PETALING JAYA:
Tajuddin Abdul Rahman mesti dipecat sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd kerana menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap kemalangan LRT yang berlaku dua hari lalu, kata Charles Santiago dari DAP.

Santiago, Ahli Parlimen Klang, menghentam Tajuddin kerana bergurau tentang kejadian tersebut, apabila beliau berkata tren-tren berkenaan “bercium”, ketika menjawab soalan pada sidang media.

Dalam catatan di Facebook, Santiago menggelar Tajuddin sebuah “bencana”.

“Beliau perlu dipecat serta merta kerana bukan sahaja tidak menunjukkan sifat empati, malah gagal melakukan pekerjaannya,” kata Santiago.

Santiago turut menyebut kembali beberapa insiden sebelum ini di mana Tajuddin mempermainkan nama Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dan bertekak dengan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di Parlimen.

“Tajuddin hanya pandai jadi ‘orang bodoh’,” kata beliau.

Santiago turut menuduh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengalihkan tanggungjawab daripada Prasarana dan Tajuddin dengan mengaitkan kemalangan itu dengan kecuaian pemandu.

Beliau mempersoalkan mengapa pusat kawalan tidak sedar pemandu menukar arah, dan mengapa tiada amaran diberikan kepada tren yang membawa penumpang.

Tambahnya, pampasan RM1,000 bagi semua penumpang terlibat adalah sebuah “penghinaan”, dengan berkata, Tajuddin sepatutnya memberi satu jumlah yang menggambarkan dengan tepat keseriusan tragedi tersebut.

“Kita perlu pasukan bebas yang terdiri daripada pakar untuk menjalankan siasatan yang tidak berat sebelah bagi memastikan kejadian sebegitu tidak berulang,” kata beliau.

Pada malam Isnin, dua tren LRT bertembung dalam terowong di Laluan Kelana Jaya, mengakibatkan 213 penumpang tercedera.

Seramai 64 penumpang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, dengan enam daripadanya dalam keadaan kritikal, dan tiga memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dua daripada mangsa memerlukan pembedahan otak, manakala seorang lagi memerlukan rawatan resusitasi serebrum, menurut laporan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.