Polis siasat gambar Exco P Pinang makan dalam kedai

Polis siasat gambar Exco P Pinang makan dalam kedai

Polis memanggil ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee, pemilik kedai dan beberapa lagi individu untuk direkodkan keterangan hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata berdasarkan siasatan awal ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee berada di situ untuk mempromosikan gerai makan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee, selepas gambar tular menunjukkannya makan di sebuah kedai di Medan Selera Sin Tat Garden, Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan dijalankan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP), iaitu makan dalam kedai sedangkan ia tidak dibenarkan.

“Berikutan itu, polis memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, pemilik kedai dan beberapa lagi individu, untuk direkodkan keterangan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021,” katanya menurut laporan Bernama.

Sejak semalam tular di media sosial gambar Soon dikatakan makan di sebuah medan selera, yang dikecam warganet dengan desakan supaya polis menyiasat lanjut.

Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan awal kejadian itu berlaku pada 3 petang 23 Mei lepas dan Soon mendakwa hadir di medan selera tersebut untuk mempromosikan satu gerai makan di situ, namun tidak menjamu selera seperti dalam gambar yang tular.

“Menurutnya, beliau masuk ke kedai makan itu untuk menangkap gambar menunjukan sedang menikmati makanan tersebut, dan hanya berlakon tanpa memakai pelitup hidung serta mulut,” katanya.

Menurutnya, Soon tidak makan di situ malah terus beredar sebaik selesai.

Susulan itu, Noorzainy meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menafikan polis tidak mengambil tindakan, sedangkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan kes itu selesai dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.