
Produk daripada dua industri itu berkemungkinan akan disekat daripada memasuki negara berkenaan.
Perkembangan itu susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) terhadap pengeluar sarung tangan Top Glove dan syarikat Sime Darby Plantation Berhad dan FGV Holdings Berhad.
Ketiga-tiga syarikat Malaysia itu disenaraikan dalam Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) Kastam dan Perlindungan Sempadan AS tahun lalu menyebabkan produk mereka ditahan di pelabuhan AS daripada memasuki negara itu.
Samuelle Carbonneau, jurucakap program tenaga kerja dan pembangunan jabatan sosial (EDSC) Kanada, mengesahkan bahawa syarikat Malaysia kini berada di bawah pemantauan mereka.
“Program tenaga kerja ESDC melakukan analisis risiko untuk menentukan kemungkinan penghantaran tertentu yang mengandungi barangan dihasilkan dengan menggunakan buruh paksa,” kata Carbonneau kepada FMT.
Beliau berkata, bukti yang didokumentasikan mengenai barang yang dihasilkan oleh buruh paksa dikongsi kepada Agensi Kawalan Sempadan Kanada (CBSA) untuk pertimbangan mereka.
“CBSA dapat menggunakan maklumat ini untuk mengenal pasti dan memintas penghantaran mengandungi barangan yang disyaki dihasilkan oleh buruh paksa,” kata beliau.
Carbonneau berkata, ESDC tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai siasatan mereka yang sedang dilakukan, sambil menambah ia memerlukan masa enam bulan atau lebih lama untuk analisis menyeluruh mengenai dakwaan berkenaan berikutan sifat kepelbagaian rantaian bekalan global yang kompleks dan pemeriksaan ketat yang dikenakan bagi setiap proses.
Menurut data perdagangan kerajaan Kanada, negara itu mengimport sarung tangan bernilai RM1.31 bilion dari Malaysia tahun lalu, peningkatan 133% daripada jumlah keseluruhan pada 2019.
Kanada juga mengimport minyak sawit bernilai RM282 juta dari Malaysia tahun lalu, peningkatan 24% daripada jumlah keseluruhan untuk 2019.