Hospital medan ATM dengan kelainan di Kepala Batas

Hospital medan ATM dengan kelainan di Kepala Batas

Hospital medan baharu ini adalah Unit Rawatan Rapi sepenuhnya yang menyediakan 27 katil.

GEORGE TOWN:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menubuhkan tiga hospital medan di negara ini semasa wabak Covid-19, dan yang terbaru hampir siap untuk berkhidmat adalah di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Hospital medan lain sebelumnya, iaitu di Padang Perdana, Kelantan, Kapit di Sarawak, dan fasiliti 100 katil di Tawau yang dibina sewaktu kes melonjak di Sabah, semuanya memiliki katil hospital biasa.

Namun, hospital medan yang dibina di Kepala Batas adalah Unit Rawatan Rapi sepenuhnya yang menyediakan 27 katil, menurut Komandan Batalion Kedua Perubatan, Dr Mohd Zamri Deraman.

Hospital medan ini dijangka dibuka pada Jumaat, kata beliau, walaupun tidak banyak dapat diumumkan awal atas beberapa isu teknikaliti.

Pakar Bius Angkatan Tentera Malaysia Dr Andrew Ng Wei Aun memberi penerangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di fasiliti hospital medan.

Katanya, raptai sudah dijalankan di hospital medan tersebut yang dilengkapkan dengan peralatan daripada wad “triage”, pergigian dan tujuan perubatan khas lain sepanjang beberapa hari lalu. Raptai ini, katanya, penting untuk memastikan kesediaan.

Ini termasuk menukar tangki oksigen apabila bekalan rendah, menghantar makanan, mengumpul calitan dan spesimen, serta membawa keluar pesakit yang telah meninggal dunia.

Zamri berkata, simulasi lain yang dijalankan termasuk kehilangan tenaga elektrik, dan ketiadaan penyaman udara.

Salah sebuah khemah di hospital medan.

Anggota tentera turut berlakon menjadi pesakit di atas katil-katil yang terbahagi antara khemah utama, dengan 15 katil, dan empat modul yang lebih kecil yang boleh memuatkan 12 katil.

“Kami yakin (hospital medan ini) boleh dibuka menjelang Jumaat. Keselamatan adalah keutamaan kami,” kata pakar kesihatan awam berkenaan.

Beliau berkata, pekarangan Hospital Kepala Batas dipilih sebagai tapak hospital medan kerana ia mempunyai ruang yang cukup. Bangunan utama hospital pula akan ditukar untuk tujuan rawatan Covid-19 sepenuhnya.

Hospital medan ini disiapkan dalam tempoh seminggu oleh lima pegawai dan 35 kakitangan kor perubatan tentera.

Kata Zamri, 27 katil di hospital medan ini akan menjadi tambahan kepada 10 katil di hospital utama yang sudah penuh.

Hospital medan ini disiapkan dalam tempoh seminggu oleh lima pegawai dan 35 kakitangan kor perubatan tentera.

Dua pakar anestesiologi tentera akan memberi perkhidmatan sokongan buat doktor Kementerian Kesihatan (KKM) apabila hospital medan ini dibuka.

Hospital medan ini dibina dengan nasihat Batalion Kedua Perubatan yang berpangkalan di Kluang, Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.