CITF mohon maaf isu teknikal ketika pendaftaran vaksin AstraZeneca

CITF mohon maaf isu teknikal ketika pendaftaran vaksin AstraZeneca

CITF memandang serius masalah teknikal yang dihadapi dan tindakan akan diambil kepada pihak berkenaan demi kepentingan awam dan negara.

CTIF berkata, ia sentiasa terbuka kepada sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak.
PETALING JAYA:
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi orang ramai ketika mendaftar untuk pusingan kedua vaksin AstraZeneca secara sukarela hari ini.

Katanya, ia memandang serius masalah teknikal yang dihadapi pengguna itu dan sentiasa terbuka kepada sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak.

“Tindakan akan diambil kepada pihak berkenaan demi kepentingan awam dan negara,” katanya dalam kenyataan.

CITF berkata, seramai 29,183 pendaftar yang dalam senarai menunggu vaksin Astrazeneca sebelum ini sudah dimasukkan dalam senarai giliran hari ini.

“Untuk rekod, sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah dipenuhi hari ini.

“Mereka yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan tetap mendapat suntikan vaksin di bawah PICK, terutamanya apabila kadar vaksinasi ditingkatkan dalam bulan-bulan mendatang.”

Terdahulu, ramai dilaporkan kecewa dengan pelbagai masalah teknikal yang timbul ketika membuat pendaftaran vaksin di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Ia termasuk tidak dapat melihat pilihan pusat vaksinasi, walaupun selepas pengguna “refresh” laman web beberapa kali.

Ada pula yang disekat daripada menghantar permohonan selepas beberapa kali mengisi maklumat, selain tidak mendapat mesej pengesahan selepas mendaftar, menyebabkan pemohon tidak pasti sama ada pendaftaran mereka berjaya.

Walaupun berdepan masalah, sejuta slot yang disediakan habis ditempah kira-kira sejam, selepas pendaftaran dibuka tengah hari tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.