Cendol kini dalam tin, inovasi pelajar UMK raih anugerah

Cendol kini dalam tin, inovasi pelajar UMK raih anugerah

Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menginovasikan cendol sebagai minuman sedia diminum dalam tin dikenali Vcendol.

Muiz sedang menyediakan bahan minuman VCendol yang turut dipelbagaikan dalam tiga perisa iaitu pandan, mangga dan strawberi. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menginovasikan cendol sebagai minuman sedia diminum dalam tin bagi memudahkan penggemar memperoleh hidangan itu.

Pelajar tahun tiga Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK, Tuan Muhammad Muiz Tuan Nordin, berkata produk dikenali sebagai Vcendol itu diperkenalkan selepas melihat belum ada produk cendol sedia diminum dalam bentuk botol atau tin di pasaran.

Penuntut ijazah sarjana muda keusahawanan itu berkata, dia menggunakan santan sawit berkualiti tinggi, kaya vitamin, kurang kolesterol dan kurang lemak untuk menghasilkan produk tersebut.

“Inovasi ini juga merupakan peluang mengembangkan idea produk VCendol ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Minuman Vcendol telah divariasikan kepada tiga perisa iaitu pandan, mangga dan strawberi yang dijual pada harga RM6.50 sebotol.

“Malah ketika bulan puasa lalu, tempahan diterima meningkat berkali ganda kerana minuman ini sesuai dengan konsep ‘on the go’ atau ‘ready to drink’. Saya berjaya jual Vcendol ini sebanyak 1,000 botol sebulan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Muiz, Vcendol kini dipasarkan oleh syarikatnya Versatile Food and Beverage menggunakan platform jualan dalam talian seperti Shopee dan media sosial Facebook, selain diedarkan kepada ejen di seluruh Malaysia.

Hasil inovasi bersama Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan Institut Keusahawanan UMK, VCendol juga telah berjaya memenangi beberapa anugerah termasuk pingat emas pada 11th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREx 2021) anjuran Universiti Malaysia Pahang.

VCendol juga telah memenangi pingat emas dalam eCarnival Research & Innovation (eCRI 2020) anjuran UMK dan Pingat Perak bagi Pertandingan Rekacipta 2020 anjuran Universiti Malaysia Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.